Malaysia Dateline

Pejuang Muda desak Azam Baki direhatkan hingga siasatan selesai

Pejuang Muda Malaysia mendesak agar Tan Sri Azam Baki direhatkan dari menjalankan tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga siasatan terhadapnya selesai dijalankan.

Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM yang dipengerusikan Tan Sri Abu Zahar Ujang mestilah juga dibubarkan serta merta kerana dilihat gagal bertindak secara profesional, kurang kecekapan dan sangat memihak kepada pihak tertentu.

Beliau memberi amaran agar LPPR SPRM bertindak profesional dan tidak merendahkan nilai intelektual masyarakat Malaysia dengan kualiti penjelasan yang diberikan Azam Baki.

“Kegagalan pentadbiran SPRM untuk bertindak dengan moral yang tinggi telah dan akan membuatkan badan pencegahan rasuah ini kehilangan integriti, kepercayaan dan hancurnya kredibiliti mereka dalam memerangi rasuah.

“Alasan dan skrip yang hampir serupa diberikan dan digunakan sewaktu skandal 1MDB meletus amat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam Baki kini ditekan untuk menjelaskan dakwaan memiliki dua juta unit saham di buah syarikat pada tahun 2015 dan 2016.

Beliau dalam pertemuannya dengan lembaga LPPR SPRM, memberitahu bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Pengerusi LPPR, Abu Zahar menyatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tidak mempunyai manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Sementara itu, Salleh Hudin mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan masih mengunci mulut sehingga hari ini

“Paling menyedihkan adalah apabila Ismail Sabri kekal bisu dan mengunci mulut berkenaan skandal yang menggemparkan ini. Apakah maksud dari kebisuan beliau dalam hal ini?

“Oleh yang demikian, Pejuang Muda Malaysia mendesak agar Azam Baki mesti direhatkan dari menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan yang dilakukan oleh sebuah badan bebas siasatan yang bakal ditubuhkan selesai,” katanya lagi.