Malaysia Dateline

Pejuang Muda desak KDN jangan buang masa keluar pelbagai amaran

Setiausaha Pejuang Muda Malaysia, Ahmad Aizat Khalid mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) supaya segera meluluskan pendaftaran Parti Pejuang dan tidak membazirkan masa dengan mengeluarkan segala bentuk amaran terhadap parti tersebut.

Dalam kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline, dia menyatakan bahawa ROS telah memberi surat amaran keras supaya segala aktiviti keahlian dan penggunaan logo parti tersebut dihentikan.

“Kami telah berkali-kali bertemu dengan pihak ROS bagi menyerahkan segala dokumen yang diperlukan supaya Pejuang mendapat kelulusan pendaftarannya.

“Pejuang juga telah membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri supaya kelulusan pendaftaran diperolehi, sebaliknya tiada respon yang diterima mengenai rayuan tersebut.

“Sehubungan itu kenapa pula amaran keras yang dikeluarkan sedangkan pihak Pejuang menanti maklum balas terhadap kelulusan pendaftaran tersebut sejak sekian lama. Bahkan tiada pun timbul sebarang isu mengenai teknikal atau pun kesalahan pentadbiran,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Aizat, ROS dan Menteri Dalam Negeri sepatutnya memberi keutamaan dengan menjawab surat rayuan Pejuang jika dibandingkan dengan surat amaran keras yang dikeluarkan tanpa asas yang kukuh.