Malaysia Dateline

Pejuang Muda gesa laksana ‘penutupan penuh’ tapi perlu SOP jelas

Sayap pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), berpendapat bahawa situasi penutupan penuh atau ‘full lockdown’ tidak dapat dielakkan dan perlu dikuatkuasa segera dengan beberapa syarat yang perlu diambil kira.

Naib Ketuanya, Nik Fathurahman berkata, sekiranya penutupan penuh dilakukan, ianya perlulah diumumkan dengan tempoh persediaan mencukupi bagi mengelakkan panik.

“Selain itu, kerajaan perlu mengagihkan bantuan sewajarnya dan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dengan penguatkuasaan yang adil agar tidak timbul kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam catatan awalnya, Nik berkata, kelemahan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak mampu membuat keputusan terbaik untuk rakyat.

Menurutnya, kegagalan demi kegagalan kerajaan tidak lagi boleh diabaikan kerana ia dikhuatiri mengakibatkan lebih banyak kesengsaraan serta kematian yang tidak perlu

Justeru, beliau mendesak agar Muhyiddin membuka sidang Parlimen agar wakil-wakil rakyat dapat membincangkan jalan kehadapan yang lebih baik selaras titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga menggesa agar kerajaan memberikan peruntukan khas Covid-19 kepada semua Ahli Parlimen agar mereka dapat menggerakkan usaha bantuan peringkat akar umbi demi mengurangkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan untuk mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi atau bantuan PKP 3.0 secepat mungkin bagi mengurangkan kesan ekonomi yang bakal dilalui mereka yang paling mudah terdedah serta memerlukan.

“Percepatkan program vaksinasi dan perkasakan saringan dengan menggerakkan semua sumber kerajaan dengan mempertingkatkan kerjasama pihak swasta.

“Berkongsi semula data pesakit COVID dengan semua negeri-negeri (selepas tidak lagi dikongsi bermula September 2020),” katanya lagi.