Malaysia Dateline

Pejuang Muda gesa Perak pertahan Istana Raja Muda

Pejuang Muda Perak menggesa kerajaan negeri mempertahankan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan yang telah dibuka untuk jualan secara tender terbuka.

Ketuanya, Syahrul Bokhairi Mohamad Saufee berkata, keputusan kerajaan negeri untuk menjual bangunan dan tapak bangunan bersejarah itu tentu sekali bukan satu keputusan yang ideal bagi sebuah negeri yang kaya dengan nilai sejarah perjuangan bangsa Melayu.

“Berbanding melepaskan pegangan tanah ini untuk tujuan pembangunan projek komersil, istana yang terletak hanya beberapa kilometer dari Menara Condong Teluk Intan sewajarnya dipulihara dan
dijadikan destinasi pelancongan serta tempat kajian sejarah bagi masyarakat muda generasi demi generasi yang akan datang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, Pejuang Muda Perak juga menzahirkan kebimbangan terhadap kenyataan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang meletakkan kelemahan keputusan penjualan tanah itu kepada kepimpinan kerajaan negeri pada tahun lalu.

“Biarpun begitu, umum mengetahui bahawa YAB Datuk Saarani Mohamad adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dan sebagai sebahagian daripada anggota eksekutif Kerajaan Negeri Perak.

“Sudah tentu Datuk Saarani perlu bertanggungjawab di atas semangat collective responsibility yang membenarkan apa sahaja keputusan seumpama itu dibuat,” katanya lagi.