Malaysia Dateline

Pejuang Muda lapor SPRM Mahiaddin rasuah terang-terangan

Pejuang Muda Malaysia hari ini membuat satu laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin membuat tawaran secara terang-terangan agar Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadapnya.

Naib Ketuanya Nik Fathurahman mendakwa, tawaran tersebut adalah satu bentuk rasuah kerana Mahiaddin menjanjikan habuan kepada Ketua Pembangkang, sebagai balasan jika menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita berpendapat perkara ini tak sepatutnya berlaku dan tawaran itu merupakan perbuatan yang memberi rasuah.

“kita harap SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan adil agar perkara ini disiasat segera,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di SPRM Putrajaya hari ini.

Sementara itu Nik berkata, Pejuang Muda seluruh negara juga akan menggerakkan laporan ke pejabat SPRM secara besar-besaran ke atas Ahli Parlimen Pagoh itu.

Mereka juga mengharapkan agar laporan yang dibuat akan disusuli dengan tindakan pantas oleh pihak berkuasa.

“Pegawai yang menerima laporan kami hari ini memberi jaminan akan menyusuli laporan tersebut dengan beberapa tindakan mengikut SOP pihak SPRM,” katanya lagi.

Pada 13 Ogos lalu, Mahiaddin menawarkan manfaat elaun bertaraf menteri kanan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau menyatakan sokongan kepada PN.

Tawaran itu kemudiannya telah ditolak kesemua ahli pembangkang kerana menganggap ia merupakan satu bentuk rasuah untuk meraih sokongan.

Mahiaddin membuat tawaran tersebut di tengah-tengah desas desus yang mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.