Malaysia Dateline

Pejuang Muda seru belia tolak politik mengampu, jenayah kleptokrat

Pejuang Muda menyeru golongan belia konsisten menolak segala unsur pengkhianatan dan jenayah kleptokrat terhadap negara tanpa kompromi.

Ketua Penerangan sayap pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, Akif Rusli berkata, pihaknya bertekad untuk berusaha membimbing belia supaya keluar dari kepompong budaya politik lama yang bersifat mengampu.

Beliau menyifatkan tindakan menjulang kegagalan pentadbiran kerajaan terdahulu sebagai dendangan kejayaan politik walaupun kadar jangkitan Covid-19 melonjak adalah lapuk dalam berpolitik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya enggan terheret dalam amalan politik sedemikian sebaliknya berusaha mencipta ruang dan peluang membantu rakyat khususnya golongan belia.

“Politik khidmat Pejuang Muda tidak hanya terkurung dalam kerangka menghulurkan bantuan dan sumbangan, bahkan hingga ke tahap memberikan idea bagi rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang menekan.

“Khidmat sebegini akan diteruskan atas kapasiti Pejuang Muda sebagai sayap kepada parti pembangkang yang berhasrat melebarkan jangkauan kepada rakyat khususnya belia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.