Malaysia Dateline

Pejuang nafi dakwaan Mahathir cadang darurat, gantung Parlimen

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan poster yang tular mendakwa pengasas parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen untuk sekali lagi melaksanakan darurat.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin menerusi ciapan Twitternya berkata, poster yang ditularkan dengan tertera gambar Mahathir berbaju parti Bersatu itu adalah palsu.

Beliau juga mendakwa, penyebaran poster palsu tersebut bertujuan memecah belahkan parti itu.

“Sekali lagi dikeluarkan poster palsu. Jabatan Penerangan Pejuang tidak pernah mengeluarkan poster ini. Ini semua usaha memecahkan kita. Jangan termakan.

“Kalau teliti, gambar yang digunakan untuk Tun adalah memakai baju koporat bersatu. Siapa agaknya ada access pada hi-res ini?,” soalnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan satu poster yang didakwa dari Pejuang.

Poster palsu itu mendakwa, Mahathir telah mendapat sokongan dari Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), DAP, AMANAH, serta sebahagian Umno dan Bersatu.

Yang di-Pertuan Agong juga dikatakan telah berpuas hati dengan permohonan Mahathir agar Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen sehingga kes reda.