Malaysia Dateline

Pejuang perlu sokong Anwar sebagai Perdana Menteri

Dikala rakyat sedang sibuk membahaskan isu Belanjawan 2020 yang banyak kelompongan serta kekurangan, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad masih ingin bertengkar dan mencari kekurangan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.

Merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin yang menyifatkan kenyataan PKR sebagai gelojoh dan tidak berasas sama sekali, AMK Damansara ingin menegaskan dan menasihati pemimpin Pejuang supaya sedar diri terhadap realiti sebenar apa yang berlaku.

Sudah terang lagi bersuluh, ianya bermula apabila Tun Dr Mahathir secara tiba-tiba menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi dengan menyatakan bahawa Anwar tidak layak mengemudi kepimpinan tampuk pemerintahan negara bagi menangani krisis yang sedia ada.

Perlu diingatkan bahawa Malaysia pernah menikmati kejayaan dengan pembentangan belanjawan yang menyatakan bahawa pendapatan negara melebihi perbelanjaan atau surplus budget semasa Anwar memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan dari 1993 hingga 1998.

Disebabkan kegigihan serta kejujuran Anwar dalam menguruskan kewangan dan ekonomi negara, kita mula membayar hutang luar Malaysia sebanyak RM10 bilion setiap tahun dan pada 1996 mendapat pengiktirafan dari Asia Money Magazine sebagai Menteri Kewangan Terbaik di Asia.

Oleh yang demikian, Pemimpin Muda Parti Pejuang juga perlu sedar bahawa punca utama kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ialah apabila peletakan jawatan oleh Dr Mahathir tanpa perbincangan serta keputusan secara muafakat semua pimpinan utama Pakatan Harapan (PH).

Sedangkan secara realitinya, Tun Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh dengan dokongan dan sokongan yang penuh dan jitu dari 4 buah parti di dalam koalisi PH.

Tuduhan yang dilemparkan bahawa kerajaan baru yang ingin dibentuk oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melibatkan mereka yang mempunyai pelbagai kes di mahkamah merupakan tuduhan yang amat berat dan tidak berasas sama sekali.

Ini kerana sehingga ke saat ini, Anwar tidak memaklumkan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Usah bicara soal mencari titik tengah persamaan dan bekerjasama menolak kerajaan tanpa mandat rakyat, jika Parti Pejuang sendiri tidak menggambarkan usaha untuk ke arah pengembalian mandat rakyat.

Jalan penyelesaian yang terbaik ialah Tun Dr Mahathir bersama Ahli Parlimen dari Pejuang menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan supaya kerajaan tanpa mandat rakyat pimpinan Tan Sri Muhyiddin dapat ditumbangkan dan memberi keyakinan baru buat seluruh rakyat Malaysia bahawa negara ini dapat ditadbir dengan baik.

 

*FIRZAN HAKIMI merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Damansara.