Pejuang pertikai lantikan penasihat khas dan duta bertaraf menteri

Oleh ARIF ATAN

Pejuang Muda Malaysia (Pejuang) mempertikai keperluan kerajaan melantik penasihat-penasihat khas dan tiga duta bertaraf menteri seperti yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Akif Rusli mempersoalkan sama ada pelantikan tersebut mahu memberi ruang agar budaya tawar-menawar jawatan dan kedudukan kembali berleluasa

Beliau berkata, iniilah hasil jasa dan pengorbanan PN yang kononnya menolak puak kleptokrat, tetapi pada hakikatnya telah mengembalikan mereka semula untuk duduk di tampuk pimpinan.

“Adakah pelantikan ini mempunyai imbuhan tertentu yang akan dibelanjakan menggunakan dana negara?

“Perbanyakan jawatan bagi tujuan habuan adalah keutamaan pentadbiran kini yang tidak jauh beza dengan PN. Budaya yang bersifat berkepentingan mengagihkan laba politik mesti dihentikan.

“Sekiranya jumlah anggota pentadbiran kerajaan dapat diminimakan, Pejuang Muda percaya bahawa kebajikan rakyat akan dapat dijaga serta perbelanjaan sumber kewangan negara akan dapat difokuskan bagi tujuan memerangi Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Akif berkata, langkah terbaik yang boleh dilakukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini adalah dengan mengecilkan Kabinetnya dan menghentikan budaya pelantikan penasihat yang tidak memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

Selain itu katanya, Ismail perlu memanfaatkan khidmat penjawat awam seperti Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam setiap kementerian bagi hal-hal berkaitan dasar di mana ia mampu melatih penjawat awam untuk meluaskan pengalaman dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Pejuang Muda juga menyatakan penolakan mereka terhadap budaya lantikan ahli keluarga sebagai pemegang jawatan berkepentingan seperti yang berlaku baru-baru ini bagi jawatan Pengerusi NAFAS yang melibatkan abang kepada perdana menteri.

“Lantikan sebegini tidak langsung mempamerkan konsep Keluarga Malaysia, bahkan lebih kepada sentimen ‘keluarga sendiri’.

“Rakyat perlu menghentikan sifat ketamakan ahli politik sebegini demi kepentingan bangsa dan tanah air,” katanya lagi.