Malaysia Dateline

Pejuang selamatkan maruah anggota Bersatu, kata Presiden AMANAH

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mengembalikan maruah ahli Bersatu.

Bekas Menteri Pertahanan itu juga yakin Pejuang yang telah diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Ogos lalu akan mendapat sambutan lebih hebat.

“Parti pejuang ini akan menyelamatkan maruah anggota-anggota Bersatu. Saya yakin Bersatu sedang runtuh terutama di Johor dan Melaka sekarang ini.

“Saya yakin parti baru ini, Pejuang akan dapat sambutan lebih hebat. Kita harap kita akan mencapai kemenangan pada 29 Ogos nanti,” katanya pada Ceramah Perdana kempen calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak malam ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini sebagai kerajaan paling tidak stabil.

“Kerajaan yang ada sekarang kerajaan paling tidak stabil. (Ahli Parlimen) Padang Rengas kata kerajaan sekarang tidak mendapat mandat rakyat.

“Ahli Parlimen lain pula mahu pilihan raya. Dari Pas pula kata, ini anugerah Allah,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau merayu agar pengundi Slim memenangkan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dalam pertandingan tiga penjuru pada 29 Ogos ini.

“Kita kena menang di Slim ini. Tidak pelik kalau mandat rakyat ini dikembalikan di Perak ini.

“Oleh itu, rakyat tunjukkanlah maruah kamu. Kembalikan demokrasi dan mandat rakyat. Kita kena ada maruah dalam menjadi rakyat Malaysia ini,” tegas Mohamad lagi.

Untuk rekod, anak jati Perak, Amir, 38, yang menggunakan lambang pokok bakal berentap dengan calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan seorang lagi calon Bebas, S Santhasekaran, 44.

Pencalonan Amir yang merupakan peguam syarie dan peguambela dinamakan oleh kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir.

Kerusi DUN Slim kosong selepas kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib dari Barisan Nasional (BN) pada 15 Julai lalu.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan pengundi Melayu (75 peratus), diikuti India 13 peratus dan Cina 10 peratus.