Pejuang terima pilihan rakyat doa Malaysia pulih dengan kerajaan baru

Oleh NASUHA RAHMAN

Pejuang Tanahair yang kalah teruk dalam Pilihan Raya ke-15 baru-baru ini menerima pilihan rakyat namun mendoakan sesiapa yang memegang kerajaan dapat memulihkan masalah yang dihadapi Malaysia.

Dalam kenyataan terbaru selepas PRU lalu Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan kekalahan itu namun berharap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan Malaysia secepat mungkin.

“Saya sebagai pengerusi Pejuang sedih. Tetapi saya terima pilihan rakyat.

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugur,” kata beliau.

Walaupun gagal menjadi pembangkang di Parlimen, katanya yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang.

“Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi Kerajaan Malaysia akan dapat pulih segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara.

“Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British.

“Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” katanya.

Mahathir bukan sahaja tidak dapat mempertahanan kerusinya yang dipegang untuk dua penggal bahkan PRu kali ini dia hilang wang deposit dengan mendapat 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi membabitkan lima penjuru.

Baca juga: Perak bukti retorik politik ekstrimisma dan fitnah tidak relevan

Baca juga: Suara emas dimiliki lelaki ini buat netizen sebak, sampai ada cadangkan komposer ambil dia jadi penyanyi