Malaysia Dateline

Pejuang tidak pernah putuskan sokong siapa jadi PM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah memutuskan sokongan kepada mana-mana individu sebagai pengganti Mahiaddin Md Yasin.

Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, parti tersebut buat masa ini tidak mengadakan sebarang perbincangan serius berhubung pemilihan Perdana Menteri.

“Setakat ini, setakat anda hubungi saya, Pejuang tidak pernah memutuskan untuk menyokong sesiapa sebagai perdana menteri.

“Pendirian kami mudah – dengan keadaan semasa negara, tidak ada penyelesaian politik,” lapor Malaysiakini malam ini.

Untuk rekod, Pejuang yang memiliki empat Ahli Parlimen bersekutu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dibarisi lapan Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Marzuki mengulangi pendirian Pejuang berhubung pembentukan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jalan terbaik yang kami cadangkan adalah Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang menjaga kesejahteraan rakyat dan negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menafikan laporan yang mendakwa Mahathir bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya malam ini.

Pada 10 Jun lalu, Mahathir iaitu Pengerusi Penaja Pejuang mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, akibat penularan pandemik Covid-19.