Malaysia Dateline

Pejuang tuntut PN perjelas tuduhan rasuah terhadap Augustus Ralph Marshall

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengesahkan dengan segera status tuduhan-tuduhan terhadap Augustus Ralph Marshall di India “Central Bureau of Investigation (CBI)”, Indonesia dan di negara-negara lain.

Pengerusi Biro Ekonomi Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, pengesahan itu perlu dibuat sejajar dengan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan yang menyatakan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) bagi pembangunan teknologi 5G akan dikendalikan berdasarkan “kerangka governans yang sesuai dan amalan terbaik global”.

“Kementerian Kewangan harus mengotakan komitmen ini dengan mengesahkan kredibiliti pelantikan Augustus Ralph Marshall,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 Mac 2020, Kementerian Kewangan telah mengumumkan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan menerajui DNB bagi melaksanakan infrastruktur dan jaringan teknologi 5G di seluruh negara.

Kementerian Kewangan telah melantik Augustus Ralph Marshall sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DNB yang akan menerima peruntukan sebanyak RM15 bilion daripada kerajaan.

Pada 29 Mac 2012, Jakarta Post memaparkan permintaan dari Kepolisian Negara Repulik Indonesia untuk Interpol mengeluarkan notis merah penangkapan Augustus Ralph Marshall di atas penggunaan dana secara haram membabitkan sebuah syarikat di Indonesia.

“Meskipun kes tersebut telah diselesaikan, namun butir-butir samada kes ini telah diselesaikan melalui keputusan mahkamah atau luar mahkamah masih tidak diketahui,” kata Armin.

Pada 24 September 2016 pula, Bloomberg juga melaporkan Mahkamah India telah mengeluarkan waran tangkap untuk Augustus Ralph Marshall berhubung kes rasuah membabitkan lesen telefon.

Armin berkata, cadangan penubuhan syarikat infrastruktur telekomunikasi milik kerajaan bukanlah suatu perkara baru.

“Ianya pertama kali dicadangkan pada 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional dengan Augustus Ralph Marshall dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Broadnet Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat yang diamanahkan untuk membina infrastruktur rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Cadangan ini telah dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang memihak kepada proses tender melalui projek National Fiberisation and Connectivty Plan (PNFCP).

“Pada 2018, syarikat tersebut telah menyerahkan lesen operasi mereka kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” tambahnya lagi.