Malaysia Dateline

Pejuangan Islam Pas umpama candu politik, igauan semata-mata

Pas tidak sepatutnya menyokong perkauman, rasuah dan pengkhianatan seandainya benar mereka mengikut perjuangan Nabi Muhammad s. a. w.

Malahan sebagai parti pemerintah seharusnya Pas melaksanakan kata-kata dan bukan lagi menjual idea ‘Islam’ yang tidak menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

Demikian dizahirkan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Jelas beliau lagi, dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Mat bahawa perjuangan Pas mengikut perjuangan Rasulullah umpama menjual agama bagi meraih sokongan politik.

“Slogan ‘Islam Penyelesai’ tidak memperlihatkan realiti ia dilaksanakan walaupun mereka adalah sebahagian dari kabinet termasuklah kegagalan menguruskan penularan wabak Covid-19 serta ekonomi rakyat semakin parah tatkala ini.

” Sekiranya benar Pas menyokong perjuangan Baginda Nabi, kenapa Pas menyokong Umno dan berada bersama mereka dalam satu koalisi politik yang dikenali sebagai Muafakat Nasional sedangkan perjuangan Umno turut memperjuangkan perkauman.

” Pas seharusnya menyedari Baginda Nabi mencegah perjuangan berasaskan perkauman yang dulu dibawa oleh parti tersebut ketika menentang Umno, sebaliknya kini berada pula dilandasan yang sama seolah-olah mereka jua telah menggadai perjuangan ini semata-mata kerana kuasa politik, ” ujar beliau.

Lebih menyedihkan tegas Faiz apabila Pas turut bersekongkol menyokong pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap mandat rakyat sehingga sanggup menjatuhkan kerajaan PH yang telah mendapat sokongan majoriti rakyat bagi menggantikan kerajaan BN dan bukannya melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Tambahnya, pengkhianatan tersebut merupakan sifat keji yang ditentang Nabi dan kenapa pula Pas sanggup menggadaikan perjuangan ini hanya semata-mata kerana gilakan kuasa.

“Presiden Pas sebelum ini ada menyarankan penakrifan baharu rasuah dengan memberi contoh sumbangan kepada orang ramai bukannya rasuah. Namun begitu, adakah sumbangan dengan tujuan meraih sesuatu habuan bukannya dikategorikan juga sebagai rasuah.

” Apakah mereka lupa derma juga telah ditakrifkan sebagai rasuah didalam Akta SPRM 2009 dan sekiranya Akta tersebut masih belum cukup islamik, adalah lebih baik bagi Pas membawa usul persendirian meminda Akta tersebut sepertimana perjuangan meminda Akta 355 yang kelihatan sudah layu entah hilang ke mana.

“Bagaimana tindakan Pas yang menyokong Datuk Seri Najib Razak yang telah dijatuhkan hukuman bersalah itu boleh dikategorikan sebagai mengikut ajaran Baginda Nabi dan dimana kah letaknya Islam yang diperjuangkan oleh Pas kini sekiranya Cabutan Khas Judi meningkat dari 8 ke 22 kali setahun, ” soal beliau.

Turut dikesalkan cambah Faiz, apabila Kempen Beli Barangan Muslim atau BMF tidak diangkat polisi ekonomi negara dan kes-kes maksiat semakin mengancam hidup umat Islam dalam negara ini sehingga menimbulkan persoalan dibenak rakyat sama ada perjuangan Islam Pas itu suatu perjuangan Baginda Nabi atau hanya sekadar candu politik yang mengkhayalkan dan menjadi igauan Pas semata-mata.