Malaysia Dateline

Pejuanita tegur agar masyarakat selidik dahulu sebelum kenakan hukuman

Pejuanita Malaysia menegur tindakan pihak yang menghukum secara keterlaluan terhadap seorang remaja berusia 19 tahun yang didapati bersalah kerana cuba mencuri wang dari tabung masjid.

Ketuanya, Datin Che Asmah Ibrahim berkata, sebagai orang dewasa yang lebih matang dan berakal, peranan menyelidik dan mengambil tahu dengan kasih sayang sepatutnya didahulukan dari terus bertindak menghukum dengan hukuman keterlaluan.

Beliau menganggap apa yang berlaku adalah malang kerana ianya terjadi di sebuah masjid yang sepatutnya menjadi pusat kepada ahli masyarakat datang mendapatkan bantuan.

“Dalam situasi kos sara hidup yang tinggi dan rakyat ramai dalam kesusahan, Pejuanita menyeru agar masyarakat Malaysia terus semarakan sikap kasih sayang dan rahmah sesama insan dan prihatin dengan keperluan masyarakat sekeliling kita.

“Pejuanita Malaysia menyeru agar sistem sokongan sosial dan bantuan kepada golongan rentan dan miskin disemak semula. Aambil pendekatan baharu yang lebih relevan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang remaja lelaki dimandikan seperti jenazah oleh beberapa ahli kariah masjid kerana cuba mencuri tabung masjid.

Remaja berkenaan kemudian dijatuhkan hukuman dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang semalam.

Bagaimanapun isu tersebut menjadi perhatian netizen yang menyatakan rasa simpati terhadap nasib remaja berkenaan kerana difahamkan dia mencuri untuk membantu membeli kos ubat datuknya yang berusia 70 tahun.

Terbaru, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda dan Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah menawarkan kesediaan mereka untuk membayarkan denda bagi pihak remaja berkenaan.