Sekeping gambar yang menunjukkan seorang pekerja kedai serbaneka, 7-Eleven sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tular di media sosial semalam.
Hal ini kerana pekerja tersebut bertindak menggunakan pengelap lantai atau ‘mop’ untuk membersihkan pemanas makanan yang dipakai pelanggan kedai tersebut.
Menganggap situasi itu keterlaluan, seorang pelanggan yang bernama Asyraf mengambil langkah memuat naik gambar tersebut di dalam aplikasi sosial media Twitter agar mendapat perhatian dari pihak berkenaan.
Asyraf yang tidak berkongsi cawangan serta lokasi di mana kedai itu berada menyifatkan sikap pekerja itu amat pengotor.
Dalam hantaran yang sama, Asyraf turut menuntut agar pihak pengurusan bersikap lebih bertanggungjawab dengan memberi pendidikan dalam tatakerja pembersihan yang betul.
“Hello @7elevenmalaysia , tolong la brief (ajar) staf korang (anda) untuk buat pembersihan dengan cara yang betul. Mop lantai pun masuk dalam microwave. Pengotor oi!,” ciap Asyraf.
Perkongsian pengadu ini telah membuka kotak pandora apabila pembaca mula berkongsi pengalaman mereka masing -masing ketika berhadapan dengan situasi yang menggelikan itu.
Kata pengguna bernama Kyrul, tukang cuci di pejabatnya pernah menggunakan mop yang sama untuk mengelap lantai dan meja makan di kafeteria.
Lebih memburukkan keadaan, pekerja tersebut turut membancuh air minuman yang dipesan pekerja tanpa membasuh tangannya terlebih dahulu selepas mengemop lantai.
“Masa aku kerja gomen (kerajaan) dulu, pernah jumpa spesis macam ini tapi orang kita. Bila dekat pukul lima dia mop lantai kafeteria, pastu mop meja makan dan meja hidang sekali.
“Kalau ada orang order (buat pesanan) air, dia tinggal mop dan terus bancuh tanpa basuh tangan terlebih dahulu. Tuan kedai dia pun sama,” kongsinya.
Seorang bekas pekerja rangkaian restoran makanan segera popular turut berkongsi bahawa tempat menggoreng kentang kegilaan orang ramai juga tidak dibersihkan dengan betul.
Dalam perkembangan terbaharu, 7-Eleven telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan mengambil tindakan terhadap pekerja yang melanggar protokol sanitasi premis kedai serbaneka itu.
“Kami memberi jaminan kepada anda bahawa tindakan segera telah diambil atas staf tersebut untuk memastikan perkara ini tidak berulang. Terima kasih,” kata kenyataan itu.
Baca juga: Bawa nasib baik kepada negara, Vietnam guna kucing sebagai simbolik Tahun Baru Cina