Malaysia Dateline

Pekerja Bangladesh terkorban, rakan senegara parah dilanggar forklift

Seorang pekerja warga Bangladesh di sebuah kilang pemprosesan getah di Seri Iskandar, Perak, terkorban selepas dilanggar forklift, pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa, Md Milon Sheikh, 31, meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang akibat patah tulang rusuk selepas tersepit di antara tiang besi dan metal former.

Seorang lagi rakan negaranya berusia 32 tahun menerima 15 jahitan akibat kecederaan di kaki kiri.

Susulan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menerusi satu kenyataan semalam, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua mangsa sedang bekerja di bahagian pengeluaran ketika kejadian berlaku.

“Ketika kejadian, seorang pekerja yang bertugas di bahagian pemeriksaan kualiti memandu forklift untuk mengalihkan metal former bersama pallet.

“Forklift yang dipandu pekerja terbabit hilang kawalan dan melanggar dua pekerja Bangladesh yang berada berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Jelasnya, jabatan sudah mengeluarkan arahan henti kerja untuk aktiviti penggunaan forklift di dalam kilang berkenaan sehingga siasatan lengkap dan tindakan penambahbaikan dibuat oleh pemilik premis.

“JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” tambahnya lagi.