Pekerja cekap, berpengetahuan teras kejayaan institusi perbankan

Pekerja cekap, berpengetahuan teras kejayaan institusi perbankan

Kalangan pekerja atau bakat perbankan yang berkelas dunia, cekap serta berpengetahuan akan terus menjadi teras kejayaan bank-bank yang mahu melaksanakan transformasi digital, demikian menurut Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers, Tan Sri Azman Hashim.

Beliau berkata, dalam senario berlatarbelakangkan revolusi teknologi industri dan peralihan perbankan kepada ekosistem siber tanpa sempadan, pengendali bank-bank pada masa depan juga perlu peka dan bergerak sejajar dengan aliran perubahan era digital.

“Bagaimanapun, pada masa sama mereka tidak harus berkompromi dalam soal integriti dan profesionalisme,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Pegawai Bank Bertauliah Ketiga dan Majlis Graduasi ke-22 AICB di sini, baru-baru ini.

Inti pati ucapan beliau itu dikongsi menerusi satu kenyataan AICB.

Pada majlis itu, lebih 100 ahli perbankan yang bertauliah itu menerima kelayakan masing-masing.

Menurut Azman, kelayakan sebagai ahli perbankan bertauliah itu akan membolehkan mereka menjadi ejen perubahan dan duta bagi memprofesionalkan industri tersebut.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Eksekutif AICB, Prasad Padmanaban pula menyentuh mengenai peranan institut itu bagi memupuk pekerja perbankan yang sentiasa bersedia dengan keperluan masa depan.

“AICB berperanan peranan penting mewujudkan kelompok profesional perbankan yang mapan dengan kemahiran serta nilai yang tepat untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap perbankan baharu,” katanya.

AICB yang dianggoai lebih daripada 30,000 ahli dan pesat berkembang, merupakan badan profesional tunggal untuk industri perbankan Malaysia.- BERNAMA