Pekerja dakwa majikan Channel W tidak bayar gaji

Pekerja dakwa majikan Channel W tidak bayar gaji

Sekumpulan bekas pekerja Unifi TV, Channel W hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap bekas majikan mereka yang didakwa menindas 15 pekerjanya dengan tidak membayar gaji.

Salah seorang pekerja, Mohd Haizal Yatiran, 35, berkata bekas majikan tersebut dipercayai membayar gaji lima orang pekerja dengan menggunakan cek tendang.

“Enam daripada kami mendapat bayaran melalui cek namun lima daripadanya merupakan cek yang ‘ditendang’. Hanya satu sahaja cek yang sah.

“Sebelum ini majikan terbabit pernah menetapkan masa untuk berbincang bersama tapi beliau tidak hadir dan lari dari berjumpa kami semua

“Kami harap dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang ada dapat dijadikan sebagai medium untuk menyelesaikan isu ini dengan cepat,” katanya.

Haizal ketika ditemui berkata pihak majikan sebelum ini kerap memberi alasan yang tidak logik apabila ditanya soal kontrak hitam putih dan pembayaran gaji.

Beliau turut menggesa pihak Kementerian Komunikasi dan Sumber Manusia mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang menganiaya pekerja industri media sendiri.

“Kami harap pihak kementerian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyenarai hitamkan nama majikan tersebut supaya tidak diberi sebarang lesen penyiaran,”katanya.

Pagi ini memorandum bantahan telah diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Lim Eng Hock.

Eng Hock ketika ditemui berkata, perbincangan dua pihak akan dilakukan secara terperinci untuk mengetahui lebih jelas isu yang timbul.

“Memorandum ini kami akan serahkan kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, dan akan diambil tindakan sewajarnya selepas keputusan dibuat oleh beliau.

“Kami akan cari cara supaya kedua belah pihak dapat menyelesaikan masalah dengan baik seperti yang termaktub dalam undang-undang,”katanya.