Pekerja di Australia bakal diberi hak abaikan mesej majikan luar waktu bekerja, Malaysia bila lagi?

Oleh MAISARAH AISYA

Isu diganggu majikan di luar waktu bekerja bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia.

Majikan dilihat tidak menghormati waktu pekerja di rumah dan mengharapkan balasan tanpa mahu menunggu waktu bekerja pada keesokan harinya.

Disebabkan itu Australia akan memperkenalkan undang-undang yang memberi hak kepada pekerja.

Pekerja dibenarkan untuk mengabaikan panggilan dan mesej tidak munasabah daripada majikan mereka di luar waktu kerja tanpa penalti.

Malah, undang-undang itu juga berkemungkinan mengenakan denda bagi majikan yang melanggar peraturan.

Menurut Reuters, perkara itu diharapkan bakal melindungi hak pekerja dan membantu memulihkan keseimbangan kehidupan kerja.

Bukan hanya di Australia, pekerja di Perancis, Sepanyol dan negara lain di Kesatuan Eropah (EU) dibenarkan mematikan peranti mereka.

Menteri Pekerjaan Tony Burke dari parti Buruh berhaluan tengah memaklumkan kebanyak senator turut mengisytiharkan sokongan terhadap undang-undang tersebut.

Peruntukan itu adalah untuk menghalang pekerja daripada bekerja lebih masa tanpa gaji melalui hak bagi memutuskan sambungan daripada hubungan yang tidak munasabah di luar waktu.

“Apa yang kami katakan ialah seseorang yang tidak dibayar 24 jam sehari tidak seharusnya dihukum jika mereka tidak berada dalam talian dan tersedia 24 jam sehari,” ujar Perdana Menteri Anthony Albanese.

Rang undang-undang itu dijangka akan diperkenalkan di Parlimen minggu ini.

Ini termasuk peruntukan lain seperti laluan yang lebih jelas daripada kerja sementara ke tetap dan piawaian minimum untuk pekerja sementara dan pemandu trak.

Baca juga: Gadis miliki ijazah pereka grafik kecewa syarikat di KL tawar gaji cuma RM1,600, “baik aku balik kampung macam ni”