Malaysia Dateline

Pekerja diajak bangun semula bina negara selepas jatuh kerana Covid-19

Sempena Hari Pekerja hari ini, AMANAH mengajak semua warga pekerja untuk bangun bersama-sama bagi membina semula negara selepas jatuh teruk akibat Covid-19.

Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi dalam satu kenyataannya berkata, golongan pekerja perlu bangkit daripada sejarah hitam hari ini dan menjadi insan yang lebih bermanfaat kepada jenerasi akan datang.

Asmuni Awi
DATUK ASMUNI AWI

“Kepada warga pekerja, saya ingin mengajak anda untuk bangun bersama-sama membina semula negara kita.

“Semoga usaha kecil kita mampu mengembangkan kembali ekonomi kita. Islam mengajar kita agar sentiasa tabah dan bersabar.

“Kita perlu bangkit daripada sejarah hitam hari ini dan menjadi insan yang lebih bermanfaat kepada generasi akan datang,” kata beliau dalam perutusan itu.

Beliau sedar bahawa sambutan Hari Pekerja pada tahun ini tidak sepertimana tahun-tahun sebelumnya.

AMANAH Perak, katanya, sentiasa mendoakan kepada semua agar dikurniakan kebaikan dan iltizam yang tinggi untuk sama-sama mencapai satu matlamat dan cita-cita iaitu memulihkan negara daripada ‘mimpi ngeri’ selepas ini.

Malahan sambutan pada tahun mungkin merupakan sejarah hitam dan pahit buat sebahagian warga pekerja yang sedang bergelut memikirkan masa depan dan kehidupan akibat kehilangan pekerjaan, kata bekas Exco Kanan Kerajaan Perak itu.

Kataya, pelbagai sektor dalam negara terjejas teruk dan hampir lumpuh akibat wabak yang sedang menimpa bukan sahaja negara kita malahan seluruh dunia hari ini.

“Antara sektor yang terjejas teruk adalah sektor pelancongan termasuk perhotelan dan juga penerbangan.

“Kita perlu mengakui bahawa pemulihan semula ekonomi dunia dan negara akan memakan masa yang cukup panjang kerana pelbagai sektor dan lapisan masyarakat terkesan berikutan bencana wabak Covid-19 ini,” katanya.

“Selamat menyambut Hari Pekerja, tingkatkan kualiti dan cerminkan intergriti. Salam perjuangan daripada kami AMANAH Perak,” katanya.