Pekerja harus pastikan gaji diterima bebas rasuah

Pekerja harus pastikan gaji diterima bebas rasuah

Kesemua warga pekerja di negara ini diseru memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan Malaysia bebas dan bersih daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata sebagai nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan rakyat serta negara, warga pekerja haruslah memastikan gaji diterima tidak diperoleh melalui pekerjaan atau hasil rezeki yang bertentangan dengan undang-undang, etika dan integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Bersempena sambutan Hari Pekerja 2017 esok, Dzulkifli menyeru agar pekerja di negara ini terus berdiri teguh bersama SPRM untuk bangkit menentang kemungkaran jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang boleh membantutkan pembangunan dan kemajuan negara

“Jenayah rasuah dan salah guna kuasa merupakan penindasan kepada seluruh masyarakat, maka kita perlu bersama-sama berusaha ke arah membina budaya benci rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pekerja sekali gus menjadikan Malaysia lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPRM juga menyeru seluruh warga pekerja di negara ini untuk bersama-sama menyokong SPRM bagi menggesa kerajaan agar mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.