Malaysia Dateline

Pekerja ladang maut dipijak gajah liar

Seorang pekerja ladang maut dipercayai diserang gajah liar di Ladang Felcra Dusun Panti, Batu 18, Jalan Johor-Mersing, dekat sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Nik Azaham Nik Aziz berkata pada kejadian 6.40 petang  itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Ridwan Mohd Yasin, 26, sedang menjalankan tugas rondaan  serta menyalakan pelita di kawasan berkenaan.

“Mangsa tidak sedar kehadiran seekor gajah berkenaan dan secara tiba-tiba, gajah liar terus menyerang dan memijak mangsa. Ekoran daripada serangan itu, mangsa mengalami cedera parah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit  Kecemasan Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.

— BERNAMA