Pekerja Lynas adakan Solat Hajat setiap minggu bermula 2018, kata Pengurus

Pekerja Lynas adakan Solat Hajat setiap minggu bermula 2018, kata Pengurus

Pekerja kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mengadakan solat hajat setiap minggu bermula tahun 2018 memohon supaya dipermudahkan urusan mereka.

Pengurus Sumber Manusia Lynas, Jumaat Mansor yang berkata, selain solat hajat yang diadakan setiap Khamis di kilang di Gebeng di sini, mereka turut berdoa supaya operasi mereka yang patuh aspek keselamatan dan undang-undang itu dapat diteruskan.

“Kami memilih untuk menganjurkan solat hajat di masjid negeri kerana hari ini (semalam) mengikut tarikh kalendar Islam ialah 6 Zulhijah 1440H dan banyak kelebihan yang ada pada 10 pertama bulan ini.

“Sudah tentu, bulan ini juga adalah bulan kemuncak untuk Lynas yang bakal menentukan hala tuju seterusnya kerana keputusan berhubung operasi kami akan diketahui pada 15 Ogos,” katanya.

Jumaat berkata demikian pada taklimat ringkas beliau di hadapan ribuan umat Islam yang menghadiri Ceramah Perdana dan Solat Hajat anjuran Lynas di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini semalam.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Jumaat berkata, topik ceramah pada majlis itu berkisar kepada fitnah dan bahayanya pada akhir zaman.

“Lynas berdepan dengan ramai pihak yang membuat andaian tidak tepat berhubung operasi kami, menuntut supaya kilang yang menjadi punca rezeki kepada hampir 1,000 individu, ditutup.

Menurutnya, perkara itu bermula dari Lynas ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2008 sehingga kilang itu mengeluarkan produk pertama pada hujung tahun 2012.

“Ia berlarutan sehingga sekarang walaupun kami sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk memberi penerangan yang tepat.

“Bahan nadir bumi diproses di kilang kami adalah selamat dan digunakan dalam kehidupan seharian kita seperti di televisyen, radio, kereta dan telefon bimbit,” katanya.

Katanya, kilang memperoses nadir bumi sebelum ini hanya ada di China dan kewujudan Lynas di Malaysia menjadi pesaing kepada negara itu sekali gus mengubah pasaran iaitu China 80 peratus dan Malaysia 20 peratus.

“Mereka yang bercerita (tentang perkara tidak betul) tidak pernah datang melihat operasi Lynas dan kami terkilan juga kerana kebanyakannya adalah cerita dongeng,” katanya.

Dalam pada itu, Jumaat berkata, selain untuk kelangsungan operasi Lynas, solat hajat yang diadakan itu juga bagi mendoakan urusan pelajar yang akan menduduki pelbagai peperiksaan utama pendidikan negara ini tidak lama lagi dipermudahkan. – Bernama