Pengunjung di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson berdepan dengan detik cemas apabila bunga api tiba-tiba meletup di atas bumbung, baru-baru ini.
Menerusi rakaman yang tular di aplikasi X, kejadian dipercayai berlaku ketika pekerja sedang membuat persiapan pertunjukan sempena sambutan ambang tahun baharu.
Namun siapa sangka, kejadian mencemaskan itu rupa-rupanya telah menyebabkan seorang lelaki maut manakala rakannya dikejarkan ke hospital akibat cedera padah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed memaklumkan, kejadian itu berlaku di bahagian bumbung tempat letak kenderaan hotel berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua mangsa itu adalah pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan bersempena malam ambang tahun baru 2024, lapor Harian Metro.
“Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mereka ditugaskan untuk memasang bunga api bagi pertunjukan sempena malam ambang tahun baru 2024. Ekoran kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia.
“Manakala seorang lagi mangsa berusia 39 tahun dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat terkena serpihan bahan bunga api yang meletup,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Tegas Aidi Sham, pihak polis menasihatkan agar orang ramai untuk tidak menularkan kes di media sosial kerana dikhuatiri boleh menganggu siasatan yang masih berjalan.
“Kejadian masih dalam siasatan polis dan diharapkan orang ramai tidak memainkan isu atau menyebabkan salah faham masyarakat. Kes sedang disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.” Ulasnya.
Terdahulu, sebuah rakaman video dan gambar yang memaparkan kejadian letupan beberapa ‘das’ bunga api di hotel tersebut tular di media sosial pada Ahad kelmarin.
Mengundang perbincangan hangat, pelbagai spekulasi muncul termasuk beberapa pengguna media sosial yang menyangka bunga api itu dipasang oleh pekerja hotel.