Pekerja nyaris terpotong jari, syarikat beri amaran

Pekerja nyaris terpotong jari, syarikat beri amaran

“Sila delete semua info berkenaan accident di atas. Dilarang menyebarkan maklumat di atas tanpa kebenaran pengurusan xxx. Tindakan akan diambil pada mereka yang berkenaan.”

Amaran pihak pengurusan kilang elektronik di Shah AlamItu mesej pihak pengurusan sebuah kilang elektronik di Shah Alam di aplikasi WhatsApp kepada semua pekerja ekoran salah seorang daripada mereka terbabit ditimpa kemalangan yang menyebabkan empat jarinya terpaksa dipotong.

 

Difahamkan pergelangan tangan kiri pekerja lelaki warganegara Indonesia berpermit itu terperosok dalam mesin kelmarin.

Foto kemalangan di tempat kerja itu dimuatkan dalam Facebook aktivis sosial Faisal Ahmad yang menyeru supaya sikap tidak bertanggungjawab pihak pengurusan kilang terbabit disebarkan kepada orang ramai.

“Apakah pampasan untuk mamat (pekerja) ni? Amaran keras diberikan pula kalau sebar cerita ini. Pekerja tu ada permit.

“Tapi bila dia migran, terus nak tutup cerita? Kalau cerita tutup dan sejuk, pampasan mungkin dapatkah? Untung kau (syarikat) ambil, pekerja lain kau ugut!” tegasnya dipetik daripada laman sosial itu.

Sementara itu, aktivis hak pekerja, Zawawi Ishak menyeru supaya golongan pekerja bersatu memperjuangkan hak mereka secara sistematik melalui kesatuan dan gerakan kiri pekerja.

“Penindasan terhadap pekerja apatah lagi yang ditimpa kemalangan di tempat kerja tidak boleh berterusan dibiar begitu saja.

“Ini kes ketiga. Macam biasa pekerja akan dibuang dan dihantar ke negara asal,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Difahamkan pekerja malang terbabit sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam, Selangor.

COMMENTS

Wordpress (0)