Pekerja perlu peka soal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

Pekerja perlu peka soal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan pekerja-pekerja di negara ini supaya terus peka dengan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Kata beliau, sekiranya hal ini berlaku, ia secara tidak langsung akan merubah tempat kerja menjadi suatu tempat yang selamat dan sihat.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis MOSHPA National OSH Award and Gala Dinner 2019 yang berlangsung di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur malam semalam.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepekaan terhadap soal-soal keselamatan dan kesihatan itu sepatutnya dijadikan amalan dan budaya oleh pekerja-pekerja bukan sahaja di tempat kerja tetapi di mana sahaja.

“Kita tidak mahu soal ini diambil berat di tempat kerja tetapi apabila kita berada di luar, di rumah atau di lapangan bersama masyarakat, kita mengabaikan hal-hal seperti ini,” kata beliau.

Beliau turut mengesyorkan agar penerima-penerima anugerah dalam soal keselamatan serta kesihatan pekerjaan pada majlis berkenaan supaya menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan membantu menaikkan taraf pengurusan syarikat-syarikat yang lain ke arah prestasi yang lebih baik.

“Mereka itu seharusnya menjadi pembimbing kepada syarikat-syarikat yang lain khususnya IKS supaya mereka turut mengambil berat soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tambah beliau, mereka ini boleh bertindak sebagai mentor atau “role model” kepada syarikat yang lain dengan berkongsi pengalaman dengan syarikat yang lain itu dalam kerjasama yang lestari dan bersepadu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Besar DOSH Malaysia, Ir. Hj. Omar Mat Piah, Presiden IOSH, UK, Prof. Vincent Ho dan Presiden MOSHPA Malaysia, Datuk Dr Kanagaraja Raman.