Malaysia Dateline

Pekerja warga Bangladesh maut struktur bangunan dalam pembinaan runtuh

Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas struktur bangunan dalam pembinaan di Jalan Cochrane, di sini runtuh kira-kira 5.30 petang tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Pudu Armdan Mahad berkata ketika kejadian mangsa yang berusia 20-an sedang melakukan kerja pembinaan di tingkat tiga sebelum struktur bangunan itu runtuh.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 5.36 petang tadi. Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga ke tingkat satu ditemui maut di lokasi kejadian selepas dihempap runtuhan lantai, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam ini.

Beliau berkata anggota bomba juga membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan kawasan runtuhan dalam keadaan selamat.

Setakat pukul 11.30 malam, kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap masih dilakukan oleh anggota bomba secara manual.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan mengesahkan sebahagian kecil lantai bangunan Pencawang Masuk Utama (PMU) MRT Cochrane miliknya, runtuh.

Menurut kenyataan itu, kejadian dipercayai berlaku apabila perancah tapak lantai di tingkat tiga runtuh ketika kerja menuang konkrit dilakukan.

“Tahap kerosakan akibat runtuhan dan punca runtuhan masih dalam siasatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjelaskan bahawa insiden itu tiada kaitan dengan Projek MRT Lembah Klang.

Pengarah Perhubungan Awam dan Perhubungan Stakeholder Datuk Najmuddin Abdullah dalam kenyataan berkata pembinaan landasan MRT Sungai Buloh-Kajang, di mana Stesen MRT Cochrane merupakan satu daripada stesennya, telah disiapkan dan dibuka kepada orang ramai sejak Julai tahun lalu.