Malaysia Dateline

Pelabuhan Tanjung Pelepas

Pelabuhan Johor jelaskan radar tentera tidak hilang

Menurut beliau, kontena yang terletak di bawah kawalan pihak PTP dan agensi kerajaan lain, kemudian dimuatkan ke atas kapal Emma Maersk pada 3 Jun lepas untuk dihantar ke Netherlands.

“Kontena itu telahpun selamat sampai di destinasi iaitu Pelabuhan Rotterdam, katanya.

“LPJ ingin menjelaskan berkaitan laporan akhbar yang menyebut kehilangan sebuah kontena yang mengandungi peralatan tentera berteknologi tinggi di PTP.

“Pihak LPJ menafikan laporan tersebut dan ingin menjelaskan bahawa kontena yang mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi yang dilaporkan, sebenarnya tidak hilang semasa ‘transhipment’ di PTP,” kata Muhammad Razif menerusi satu kenyataan yang dipetik Bernama.

Beliau berkata sepanjang kontena tersebut berada dalam transhipment di PTP, pihak PTP telah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang pada masa sama sedang mempertingkatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalaman berhubung pemakaian Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010.

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam melaporkan kontena yang memuatkan peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit hilang ketika transit di PTP setelah tiba dari Australia bulan lepas.

Laporan akhbar itu yang memetik sumber berkata, barang terbabit sepatutnya di hantar ke Belanda (Netherlands) melalui negeri ini, namun, ia tidak mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan ia ditahan.

Menurut laporan akhbar itu lagi, semua peralatan ketenteraan yang dibawa masuk dan keluar dari mana-mana pelabuhan di negara ini memerlukan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sehubungan itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa kerajaan memberi penjelasan serta langkah yang akan diambil terhadap insiden yang dianggap serius dan boleh menjejaskan keselamatan negara.

Tegas Ketua Pembangkang ini lagi, pihak Kastam dan Eksais  di  pelabuhan sepatutnya mempunyai kawalan keselamatan yang tinggi di pelabuhan bagi mengelak insiden ini berlaku.

“Insiden ini cukup merunsingkan. Ini kerana jika peralatan radar ketenteraan boleh dicuri atau diseludup dengan begitu mudah, apatah lagi penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia malah juga salah urus kargo atau konsainan bahan berbahaya.

“Amatlah mengecewakan jika wujud sebarang elemen rasuah dan persekongkolan di dalam jenayah ini, dan saya menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan sepenuhnyat,” ujarnya.