Malaysia Dateline

Pelabur asing kembali, aliran masuk bersih sebanyak RM53.31 juta

Pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam pasaran ekuiti tempatan minggu ini, dengan pelaburan berjumlah RM53.31 juta antara 23-26 Dis berbanding jualan bersih sebanyak RM57.7 juta yang direkodkan antara 16-19 Dis, susulan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang kini semakin pulih.

Dana runcit tempatan menjadi penjual bersih, dengan sejumlah RM30.08 juta antara 23-26 Dis, penurunan daripada belian bersih sebanyak RM13.4 juta yang direkodkan  antara 16-19 Dis, manakala dana institusi tempatan menjadi penjual bersih membabitkan sejumlah M23.23 juta antara 23 Dis -26, penurunan daripada belian bersih sebanyak RM44.3 juta yang direkodkan antara 16-19 Dis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran Amerika Syarikat terus mencatat rekod tinggi, diketuai sektor teknologi.

“Trend itu selari dengan unjuran peningkatan dalam jualan semikonduktor global tahun depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Pada satu tahap, aktiviti pelabur untuk mengemaskini akaun menjelang akhir tahun juga mampu memberi sokongan kepada pasaran ekuiti,” kata Mohd Afzanizam.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi turut membantu sektor minyak dan gas serta industri perladangan yang menyaksikan harga minyak sawit mentah berlegar sekitar RM2,900 setan.

Awal minggu ini, Petronas Dagangan Bhd mengumumkan bahawa ia kini membekalkan bahan api Euro 4M RON 95 di stesennya di seluruh negara, lebih awal dari tarikh yang diwartakan kerajaan pada 1 Jan, 2020.

Ia berkata spesifikasi bahan api baharu itu mengandungi hanya 50 bahagian daripada sejuta kandungan sulfur, iaitu 10 kali kurang daripada standard Euro 2M untuk petrol RON 95.

Selain itu, kandungan benzena dikurangkan sebanyak 30 peratus kepada 3.5 peratus manakala tekanan wap dikurangkan sebanyak 7.0 peratus kepada 65 kilopaskal, menjadikan bahan api itu lebih bersih untuk enjin dan alam sekitar.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Bursa Malaysia menyaksikan 30 penyenaraian baharu tahun ini berbanding 22 pada 2018, angka tertinggi sejak 2006 walaupun persekitaran operasi yang mencabar.

Daripada 30  penyenaraian baharu itu, empat disenarai di Pasaran Utama berbanding dua pada 2018, 11 di Pasaran ACE (sembilan pada 2018) dan 15 di Pasaran LEAP (11 pada 2018).

Bursa Malaysia berkata aktiviti tawaran awam permulaan Malaysia pada 2019 sihat walaupun berhadapan tempoh ketidaktentuan pasaran, berikutan asas ekonomi yang stabil, peserta pasaran yang pelbagai dan seimbang, serta rangka kerja tadbir urus yang mantap.

“Oleh itu, kami berharap FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri tahun ini melepasi paras 1,600 mata, minggu depan,” kata Mohd Afzanizam— BERNAMA