Pelabur asing terus yakin dengan ekonomi Malaysia

Pelabur asing terus yakin dengan ekonomi Malaysia

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap pelabur-pelabur asing akan terus mempunyai keyakinan ke atas ekonomi Malaysia.

Timbalan Menteri Dr Ong Kian Ming berkata pasaran saham di Malaysia secara beransur-ansur sudah bertambah baik tetapi kerajaan tidak menilai menerusi perubahan harian.

“Saya rasa anda boleh melihat pasaran saham sudah meningkat tetapi yang penting, bukan perubahan secara harian dalam prestasi pasaran saham, sebaliknya, kewujudan ekosistem yang betul supaya portfolio pelaburan yang mampan dan berjangka panjang akan memasuki Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Plugfest Industri Internet Pelbagai Perkara (IIOT) 2019 sini hari ini.

Ong berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai laporan oleh sebuah portal Bahasa Inggeris yang menyatakan para pelabur asing secara beransur kembali ke Malaysia selepas mencetuskan jualan besar-besaran pada tahun lepas, tertarik dengan pengenduran ketegangan politik, harga pasaran dan harapan untuk menjadi lebih baik selepas pertumbuhan ekonomi mula meningkat pada penghujung 2019.

Katanya, kerajaan membuat penilaian berdasarkan tempoh jangka panjang membabitkan tahun, berbanding secara pergerakan harian dalam pasaran saham dan pasaran bon.

Kerugian yang dilaporkan oleh dana kekayaan kedaulatan Khazanah Nasional Bhd tidak akan mempunyai sebarang kesan kepada pelabur-pelabur asing.

“Prestasi syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Khazanah tidak akan mempengaruhi pelabur-pelabur asing kerana mereka lebih menitik beratkan ekosistem yang betul supaya mereka boleh membuat pengeluaran dan membina R&D, kerana kebanyakan produk mereka adalah untuk eksport.

“Mengenai keadaan pasaran tempatan, mereka (pelabur asing) sedang mencari suasana pelaburan yang sangat baik dan bukannya prestasi pelaburan (GLC seperti Khazanah),” katanya.

Ong yang juga merupakan ahli parlimen Bangi, Selangor ketika bercakap mengenai penerimaan Revolusi Industri 4.0 oleh peserta industri khususnya, Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS), memberitahu industri di sebelah utara Malaysia khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) adalah lebih terdedah kepada Industri 4.0.

Transformasi Industri 4.0 adalah penting bagi sesebuah syarikat untuk maju dalam ekonomi masa depan.

“Kerana itu, MITI telah melancarkan Industry4wrd di mana sejumlah RM15 juta telah diperuntukkan untuk menyediakan Penilaian Kesediaan dan RM30 juta lagi sebagai satu dana pengantaraan dalam susulan,” katanya.

Katanya, sektor E&E telah menjadi penyumbang utama dalam perindustrian di wilayah utara, menyumbang RM380 bilion atau 38 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai eksport sebanyak RM998 bilion pada tahun lepas.

— BERNAMA