Pelabur dan ahli perniagaan di luar negara digesa bantu capai status negara maju 2025

Pelabur dan ahli perniagaan di luar negara digesa bantu capai status negara maju 2025

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pelabur dan peniaga Malaysia di luar negara turut memainkan peranan mereka membantu kerajaan dalam mencapai hasratnya menjadikan Malaysia berstatus negara maju menjelang 2025.

Dr Mahathir berkata beliau gembira melihat ramai rakyat Malaysia melabur dan menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang di serata dunia.

“Ini perkara yang baik. Kita mahukan Malaysia membantu ekonomi negara-negara bersahabat ini. Selain itu, ia dapat meningkatkan ekonomi Malaysia apabila kita boleh eksport dan import barangan dari negara-negara berkenaan.

“Kita tersasar (Wawasan) 2020, mungkin 2025… ini bermakna semua ahli perniagaan perlu banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia,” katanya pada sesi dialog dan majlis malam diaspora Malaysia di sini malam ini.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Vietnam Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa turut hadir bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di Vietnam yang kebanyakannya komuniti peniaga dan pelabur di majlis malam ini.

Mahathir baru tiba di Hanoi hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke VIetnam atas jemputan Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc.

Sementara itu merujuk kepada kehadiran para pelabur dari bangsa Arab ke dalam negara, Dr Mahathir berkata Malaysia mengalu-alukan kehadiran mereka khususnya dalam bidang hartanah.

“Ada banyak bidang untuk mereka ceburi di Malaysia. Mereka mempunyai banyak kepentingan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Malaysia adalah sebuah negara yang “amat bertuah” kerana ia bebas daripada bencana alam, masalah dalaman mahupun konflik.

Selain itu, beliau berkata tiada penghijarahan beramai-ramai di Malaysia.

“Kita merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Di sebalik perbezaan, kita dapat hidup bersama aman damai. Kemungkinan ada yang berhijrah, namun bilangannya tidak ramai dan mereka (rakyat Malaysia) masih mengekalkan passport Malaysia kerana mahu balik suatu hari nanti,” katanya.– BERNAMA