Pelabur digesa pelbagai pelaburan P2P bagi meminimumkan kerugian

Pelabur digesa pelbagai pelaburan P2P bagi meminimumkan kerugian

Walaupun pelabur dalam pembiayaan rakan-kepada rakan (P2P) mesti bersedia menerima risiko mungkir oleh penerbit nota pelaburan, mereka wajar yakin bahawa pengendali platform sudah melakukan yang terbaik untuk mencegah kejadian sedemikian daripada berlaku.

Tidak dinafikan, pulangan yang lebih tinggi daripada melabur dalam pembiayaan P2P datang dengan risiko kemungkaran yang lebih tinggi.

Walaupun pelabur mengakui risiko sedemikian, pengendali platform P2P mempunyai kewajipan untuk mengurangkan risiko sedemikian sebagai sebahagian daripada usaha dan proses penilaian risiko, kata Pertubuhan Pendanaan Malaysia (PPM).

Platform pembiayaan P2P terbesar di negara ini itu mempunyai penilaian kredit yang ketat dengan proses mendapatkan semula hutang secara proaktif untuk meminimumkan risiko mungkir dan potensi kerugian yang mungkin timbul.

Sebagai contoh, PPM selalu berkomunikasi dengan semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengingatkan mereka tentang tarikh pembayaran bagi memastikan proses pengumpulan yang lancar dan semua pembayaran dibuat pada masa yang ditetapkan.

“PKS yang menjangkakan kesukaran untuk memenuhi pembayaran balik, dinasihatkan supaya menghubungi persatuan untuk membincangkan kemungkinan tindakan pemulihan bagi meminimumkan tekanan kewangan ke atas aliran tunai PKS dan pada masa yang sama meminimumkan kerugian kepada pelabur,” kata keua pegawai eksekutif PPM Wong Kah Meng.

“Kami akan berjumpa PKS yang terlepas bayaran balik mereka untuk memahami sebab kegagalan sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Keutamaan kami adalah untuk mengimbangkan antara meminimumkan kerugian kepada pelabur dan menyediakan penyelesaian yang membina kepada PKS, Ini akan membolehkan mereka mengurus kewangan dengan lebih baik untuk memenuhi kewajipan pembayaran balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wong, kegagalan dalam perniagaan merupakan perkara biasa dalam menjalankan perniagaan, terutama dalam kalangan PKS, kerana mereka menghadapi risiko tumpuan (memandangkan saiz mengehadkan mereka untuk memberi perkhidmatan hanya kepada sebilangan kecil pelanggan yang penting kepada perniagaan mereka) atau kurang mampu menahan kejutan pasaran sekiranya berlaku kemerosotan.

“Oleh itu, kami memberi penekanan kepada PKS yang menghadapi masalah kewangan dengan memberikan cadangan terbaik struktur pembayaran alternatif untuk membantu mereka melalui masa yang mencabar,” katanya.

Bagi PKS yang tidak memberikan kerjasama, Wong berkata PPM tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil tindakan undang-undang.

Beliau berkata ini merupakan satu langkah penting untuk memastikan PKS sedar tentang kewajipan mereka untuk membuat pembayaran tepat pada masanya dan untuk melindungi kepentingan pelabur.

Keingkaran berlaku apabila PKS gagal memenuhi kewajiban pembayaran balik mereka dalam jangka waktu yang ditetapkan, biasanya dalam tempoh 60 hingga 90 hari dari tarikh pembayaran mereka.

Walaupun selepas PKS diklasifikasikan sebagai mungkir, kewajipan untuk PKS memenuhi pembayaran dan usaha mendapatkan semula pembayaran akan diteruskan.

“Selain itu, kami membuat lawatan tapak, menemu bual, serta mempunyai akses kepada maklumat biro kredit (CCRIS) untuk menyokong usaha wajar dan penilaian risiko PKS,” kata Wong.

Sehingga kini, proses yang dilaksanakan oleh PPM berkesan dalam meminimumkan kesan mungkir memandangkan platform pembiayaan P2P hanya mencatatkan kadar mungkir kurang daripada satu peratus, dan membolehkan pelabur mendapatkan pulangan yang disesuaikan dengan risiko yang lebih tinggi .

Bagi mengurangkan kerugian akibat mungkir, Wong menggesa pelabur suoaya mempelbagaikan seberapa banyak tawaran (nota yang dikeluarkan) yang mungkin.

Untuk mempermudah proses pelaburan bagi individu yang sibuk, PPMmempelopori ciri Peruntukan Auto dengan pelabur boleh menetapkan had pelaburannya (termasuk pelaburan setiap nota, kadar faedah yang dipilih, tempoh pelaburan dan pilihan industri) yang akan dilaburkan secara automatik ke dalam nota yang sesuai dengan parameter tersebut.

Penyelesaian yang dipacu oleh teknologi ini telah membantu banyak pelabur membuat portofolio bebas yang mudah dan pelbagai.

Pada masa ini, terdapat lebih 20,000 pelabur berdaftar dengan PPM. Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah milenium, yang menonjolkan pentingnya generasi muda dalam pembiayaan P2P sebagai pilihan pelaburan.

Pembiayaan P2P menghubungkan PKS dengan pelabur menerusi pasaran dalam talian, dengan itu meningkatkan akses kepada pembiayaan PKS.– BERNAMA