Malaysia Dateline

Pelaburan asing merosot, PN pentingkan agenda politik bukan ekonomi negara

Dakwaan Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang menggambarkan kegagalan menarik pelaburan langsung asing (FDI) telah bermula sejak pengambil alihan kuasa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak Mei 2018 adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menegaskan hakikatnya keyakinan pelabur terhadap Malaysia mulai merosot sejak tercetusnya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015 lagi.

Menurutnya, laporan terbaharu Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) mengenai kemerosotan FDI ke dalam Malaysia lebih teruk berbanding negara-negara Asean.

Hal ini, jelasnya, membuktikan Malaysia di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi menjadi destinasi pelaburan yang menarik di rantau Asia Tenggara.

Malah kata beliau, negara turut terperangkap dan kalah dengan Singapura dalam meraih pelaburan bernilai tinggi serta kecundang dengan Indonesia mahu pun Vietnam dalam mengaut pelaburan berteraskan ‘low-cost mass production’.

“Bukti jelas apabila pelabur asing mulai lari dari Bursa Malaysia sehingga menyebabkan lebih RM19.5 bilion dana asing bersih meninggalkan pasaran ekuiti Malaysia pada tahun 2015. Ini rekod kedua terburuk negara ketika BN memerintah.

“Manakala rekod terburuk adalah di bawah kerajaan PN pada 2020 apabila RM25 bilion dana asing telah dikeluarkan, sedangkan dari segi FDI pula yang meliputi pembukaan kilang dan syarikat asing di Malaysia, nilai pelaburan bersih telah jatuh hampir RM7 bilion atau 14 peratus pada 2017 ketika BN memerintah,” katanya.

Rekod terburuk

Faiz juga memberitahu kerajaan PN juga mencatat rekod terburuk dengan kejatuhan 68 peratus kepada jumlah USD2. 5 bilion dan keadaan pelaburan tempatan tidak lagi menarik bagi pelabur asing.

Tegasnya, selepas mengambialih pemerintahan pada tahun 2018, PH telah mengambil banyak langkah bagi memulihkan prestasi pelaburan negara.

Bagi tahun 2019, ujarnya, FDI yang diluluskan telah melonjak ke RM82. 4 bilion iaitu paling tinggi dalam sejarah berbanding tahun 2017 semasa di bawah pemerintahan kerajaan BN apabila FDI diluluskan hanyalah RM52. 4 bilion.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir turut berkata, kerajaan PH telah berusaha menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi terutama dalam sektor teknologi dan telah memudahkan proses pelabur asing melabur di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kegagalan PN menarik pelaburan harus membuka mata rakyat bahawa PN hanya mementingkan agenda politik dan bukannya pembangunan negara.