Pelaburan China buka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan

Pelaburan China buka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan

Pembinaan fasa kedua kilang kaca solar, Xinyi Glass Group, di Kawasan Perindustrian Lipat Kajang (Elkay) dijangka mampu menjana kira-kira 600 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan warga asing di negeri ini.

Duta Besar China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkata pembangunan fasa kedua yang bermula esok itu turut melibatkan penyertaan lebih 50 peratus pekerja warga tempatan.

“Pelaburan ini akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di sini (Melaka).

“Sebagai contoh, kira-kira 1,600 pekerja diambil bekerja sejak fasa pertama kilang Xinyi beroperasi,” katanya kepada pemberita menerusi penterjemah selepas lawatan ke kilang Xinyi Energy Smart and Xinyi Solar di Kajang Lipat hari ini.

Beliau menolak dakwaan pihak tertentu bahawa syarikat itu cuba ‘mengacau periuk nasi’ rakyat negara ini.

“Fakta sebenar ialah pelaburan dari China akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, selain turut membantu pertumbuhan sektor yang Malaysia ketinggalan sebelum ini seperti sektor pengeluaran kaca.

“Sebagai contoh Xinyi turut membawa teknologi bersamanya, dan kami membantu Malaysia menghasilkan kaca berkualiti yang sebelum ini diimport,” katanya.

Huang berkata pengiktirafan syarikat Xinyi Glass Group sebagai pengeluar kaca solar terbesar dunia itu kini bukan sahaja diterima di pasaran tempatan malah di Asia, Timur Tengah dan Eropah.

Beliau turut melawat projek Melaka Gateway dan syarikat Wing Tai Malaysia Berhad di Jaya 99 hari ini.

TAGS