
Pelaburan dalam industri peralatan perubatan jadi keutamaan Mida
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) kini memberi lebih tumpuan kepada industri peralatan perubatan yang dikenal pasti sebagai antara industri yang memiliki potensi pertumbuhan tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
Pengerusi, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata ini berasaskan bahawa industri tersebut amat berkait dengan subsektor pembuatan lain.
“Kita mempunyai beberapa insentif untuk mereka dan MIDA menumpukan bidang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat pembaikan global Cochlear Ltd yang baharu pada Selasa.
Cochlear Ltd yang berpangkalan di Australia merupakan syarikat peralatan perubatan yang mencipta, membuat dan membekalkan penyelesaian pendengaran boleh implan.
Beliau berkata setakat 2018, terdapat 382 projek peralatan perubatan dengan pelaburan bernilai RM18.4 bilion telah dilaksanakan di Malaysia dan mewujudkan lebih 71,000 pekerjaan.
Pada suku pertama 2019 sahaja, beliau berkata, MIDA meluluskan enam lagi projek peralatan perubatan bernilai RM309.3 juta.
Abdul Majid berkata industri peralatan perubatan negara ini merangkumi 200 firma termasuk syarikat bersaiz kecil dan sederhana selain multinasional.
“Ini memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi penyumberan dan pembekal peralatan dan komponen perubatan global,” katanya.
Beliau berkata, lebih 90 peratus peralatan perubatan dibuat di Malaysia adalah bagi pasaran eksport.
“Sekali gus membuktikan bahawa peralatan perubatan keluaran Malaysia memiliki kualiti kelas dunia dan diiktiraf kerana menepati sistem pematuhan pengawalseliaan global,” katanya.
Selain itu, Abdul Majid berkata pusat pembaikan global Cochlear itu akan melonjakkan pembangunan ekosistem peralatan perubatan di Malaysia.
“Ia diharap dapat menarik peserta industri peralatan perubatan global lain untuk melabur di dalam negara ini,” katanya.
Pengarah bagi Operasi Malaysia Cochlear, Samuel Pooranakaran berkata pihaknya telah melabur kira-kira RM3 juta sejak sembilan bulan lepas dan menggaji 27 pekerja tambahan untuk operasi baharunya itu.
Beliau berkata pusat itu akan memasang pengganti pemproses bunyi Nucleus 6 bagi pelanggan seluruh dunia, malah Cochlear telah menyatukan 11 pusat pembaikan globalnya untuk menjadi sebuah pusat tunggal di Malaysia. – BERNAMA