Malaysia Dateline

Bangunan Tabung Haji berdiri megah di ibu kota Kuala Lumpur

Pelaburan ekuiti TH kekal dengan peningkatan nilai RM1.12b sepanjang 2019

Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik.

Malah TH dalam kenyataan hari ini menjelaskan, terus mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya sejak tiga bulan lalu.

“Sepanjang tahun 2019, nilai ekuiti domestik TH telah meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion, pada penghujung 2018, kepada RM7.48 bilion,setakat 27 September 2019.

“Pelaburan TH tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik, menjana n pendapatan stabil dan patuh syariah, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan di antara pegangan terbesar di dalam portfolio TH,” ujarnya dalam kenyataan.

Ini susulan dakwaan sebuah portal The Malaysian Reserve yang dipetik pada Isnin, melaporkan TH telah melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion sejak tiga bulan lalu bagi mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran ekuitinya ini ke atas 9 syarikAt termasuk pegangan dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB), FGV Holding. dan Yinson Holdings Bhd, sejak akhir bulan Jun 2019

Syarikat itu juga telah menjual sahamnya di Brahim’s Holdings Bhd. Lion Industries Corp Bhd., Shin Yang Shipping Corp Bhd., T7 Global Bhd., Notion VTec Bhd., Cheetah Holdings Bhd. dan NCK Corp Bhd.

TH menjelaskan, secara keseluruhannya pegangan TH dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta semenjak 18 bulan yang lalu.

Bagi tahun 2019, TH tidak memiliki mahupun melupuskan pegangan saham dalam syarikat-syarikat seperti FGV Holdings Berhad, Lion Industries Corporation Berhad, T7 Global Berhad, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings Berhad dan Cheetah Holdings Berhad seperti yang dilaporkan di media massa.

“Selain daripada ekuiti, TH kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan
tetap seperti sukuk.

“TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi lokasi aset yang mengutamakan pendapatan yang mampan buat jangka masa yang panjang dengan mengambilkira risiko yang bersesuaian. TH akan terus mengekalkan tahap tadbir urus yang tinggi dalam mentadbir dana yang dipertanggungjawabkan kepadanya,” ujarnya kenyataan itu.