Malaysia Dateline

Pelaburan ke dalam negara parah di bawah kerajaan PN

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa gagal merangsang ekonomi dan menarik pelabur asing dalam keadaan negara memerlukan suntikan dana demi kelangsungan ekonomi negara.

Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi berkata, setelah kepimpinan negara dirampas oleh kerajaan tebuk atap, kedudukan pelaburan menjadi semakin parah.

“Merujuk pada laporan terkini aliran dana mingguan MIDF, secara kumulatif untuk bulan Oktober, pelabur asing adalah penjual bersih berjumlah RM479.5 bilion.

“Manakala bagi aliran keluar atau net selling pelabur asing adalah RM22.81 bilion dan merupakan dua (2) kali ganda pada 2019 iaitu RM11.14 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama Abbas berkata, kesan daripada senario tersebut akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara, juga kedudukan nilai mata wang ringgit yang kian lemah berpunca keyakinan pelabur terhadap kemampuan kerajaan PN.