Pelaburan Melaka catat RM327 juta enam bulan pertama tahun ini

Pelaburan Melaka catat RM327 juta enam bulan pertama tahun ini

Pelaburan di Melaka berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berjumlah RM327 juta dalam enam bulan pertama tahun ini, dengan RM194 juta merupakan pelaburan domestik, manakala RM133 juta merupakan pelaburan asing, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui beberapa anak syarikat dan syarikat swasta telah menjalin usaha sama dalam pelbagai projek pembangunan dalam sektor lain seperti pelancongan khususnya dalam membangunkan produk pelancongan baharu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.7 bilion.

“Jumlah ini tidak termasuk pelaburan dalam sektor perumahan iaitu sebanyak RM4.2 bilion. Dengan sasaran purata pelaburan RM5 bilion setiap tahun, kerajaan negeri akan terus mempromosi Melaka sebagai destinasi pelaburan yang kondusif di negara ini.

“Sehingga Jun 2019, seramai 9.04 juta pelancong melawat Melaka berbanding 8.75 juta orang dalam tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 297,993 orang atau 3.41 peratus, dan saya percaya pada tahun ini kita mampu mencapai sasaran 20 juta pelancong dengan tempoh bermalam sebanyak tiga malam dengan jangkaan hasil pendapatan melebihi RM20 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka serta Isitiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini hari ini.

Adly berkata tahun lepas, Melaka mencapai rekod pertumbuhan sederhana dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.9 peratus, namun dari aspek KDNK per kapita, Melaka mendahului peringkat nasional dengan kadar RM47,960 berbanding RM44,682.

Katanya kadar pengangguran di negeri itu kekal terendah di negara ini iaitu 1.1 peratus dengan kadar penyertaan tenaga buruh pada 66.5 peratus selain kadar inflasi kekal berada pada tahap yang rendah iaitu 0.8 peratus dan miskin tegar pada kadar sifar peratus.

Sementara itu, beliau berkata dalam aspek pendidikan pula, kerajaan negeri merancang mendapatkan tajaan serta sumbangan daripada pihak swasta berjumlah RM10 juta bagi membiayai Program Dermasiswa Khas 2020.

Beliau berkata dermasiswa khas itu bertujuan membantu anak Melaka yang berjaya melanjutkan pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional sama ada di peringkat sijil mahu pun diploma di institut pengajian tinggi tempatan.

“Untuk itu kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan awal dengan Jabatan Tenaga, Manusia Kementerian Sumber Manusia bagi merancang program latihan yang bersesuaian yang boleh ditawarkan kepada anak Melaka yang berminat,” katanya.

Beliau berkata ia selaras dengan matlamat untuk menstransformasi pengalaman sektor perindustrian di negeri ini ke arah Revolusi Industri 4.0 sejajar dengan pembangunan Melaka 2035 ke arah negeri maju berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri akan terus berusaha memperkasa fungsi dan peranan Pelabuhan Tanjung Bruas dan sehingga September lepas, sebanyak 762 kapal telah berlabuh di pelabuhan itu dengan jumlah 715,911 kargo konvensional yang dikendalikan dan 7,413 kontena.

Katanya kerajaan negeri juga bertekad untuk merealisasikan pembangunan Kuala Linggi International Port bagi merancakkan industri minyak dan gas serta industri hiliran lain.

“Cadangan pelaksanaan projek ini dijangka diputuskan kerajaan persekutuan pada hujung Oktober ini dan ia dijangka disiapkan dalam tempoh 10 tahun selepas kelulusan kebenaran merancang diperoleh,” katanya.