Malaysia Dateline

Pelajar balik ke Sarawak wajib diambil sampel

Pelajar Sarawak yang tiba dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan diambil sampel sebaik mereka tiba di negeri ini bagi memastikan bebas Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata,
ia adalah bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak wujudnya kluster di kalangan pelajar universiti di luar Sarawak.

Tegasnya, pelajar-pelajar itu juga akan disaring dan ditempatkan di hotel sehingga keputusan sampel diperolehi.

“Jika keputusan sampel mereka adalah negatif, maka mereka akan dibenarkan pulang dan dipasangkan gelang tangan penanda dan seterusnya menyambung kuarantin di rumah,” ujar beliau.

Tambah Uggah, setakat ini JPBN telah menyelaras kepulangan seramai 4,931 pelajar Sarawak dari Semenanjung , Sabah dan Labuan serta seramai 1,451 pelajar tempatan dalam Sarawak untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

Beliau turut memberitahu, bagi penjawat awam yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang balik ke Sarawak untuk bertugas pula, mereka dikehendaki menjalani ujian PCR dalam tempoh tiga hari sebelum memulakan perjalanan ke negeri ini.

“Sekiranya keputusan sampel adalah negatif, barulah mereka dibenarkan masuk ke Sarawak.

“Malah kita juga memberi kelonggaran kepada pekerja asing yang ingin balik ke negara masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak memberi jaminan untuk mereka dapat balik semula ke Sarawak,” jelas beliau lagi.

Pada masa sama, katanya JPBN juga dalam perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mencari langkah-langkah yang sesuai bagi membuat saringan kepada semua pekerja asing dan tempatan di negeri ini.