Pelajar IPT buat rumah macam pusat sampah, pemilik luah sebab inilah ramai trauma nak sewakan pada pelajar

Oleh KIM SYAZIE

Sejak kebelakangan ini hangat dibincangkan di media sosial tentang permasalahan yang dihadapi mahasiswa untuk mendapat penempatan atau rumah sewa berdekatan dengan universiti sepanjang tempoh pengajian mereka.

Dilaporkan, kebanyakan mahasiswa di UiTM Shah Alam yang paling sengsara dan terdesak apabila difahamkan pemilik rumah sewa meminta deposit sehingga RM9,000 kepada mahasiswa.

Perkara ini terjadi mungkin disebabkan oleh tekanan dan trauma yang berkali-kali dilalui oleh pemilik rumah sewa sebelum ini seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook Zeeda Aziz.

Wanita berkenaan berkongsi pengalamannya yang berhadapan dengan keadaan rumah sangat teruk selepas disewakan selama enam bulan atau satu semester kepada pelajar IPT.

“Tamat satu semester, rumah dipulangkan dalam keadaan yang tidak terluah dengan kata-kata. Terduduk saya tengok rumah hancur. Seminggu saya dengan suami menyewa di hotel untuk ulang alik bersihkan lantai yang berdaki, bilik air berlumut kuning hijau,” luahnya.

Dia juga memberitahu, keadaan rumah begitu kotor dengan kabinet dapur yang hancur diterajang penyewa rumah. Selain itu, dia juga menjumpai Bong untuk hisap syabu, kotak rokok dan kondom yang dibiarkan bersepah di ruang tamu.

Bukan sekali, tetapi dua kali dia berhadapan pengalaman sama apabila menyewakan rumah kepada mahasiswa yang membuatkan dia serik dan trauma.

Gambar sekadar hiasan

Kami kongsikan luahan penuh Zeeda Aziz yang boleh dijadikan pengajaran untuk semua;

Riuh parents berbunyi tentang masalah penempatan pelajar universiti. Kolej dah penuh, rumah sewa tak ada. Kalau ada pun mahal sangat depositnya.

Saya pernah membuka peluang kepada pelajar menyewa apartment saya di Bangi. Waktu tu saya masih naif dan bersangka baik. Deposit rendah, harga sewa murah, apartment pun fully furnished. Saya siap belikan tilam untuk penghuni.

Tamat satu semester, rumah dipulangkan dalam keadaan yang tak terluah dengan kata-kata. Terduduk saya tengok rumah hancur. Seminggu saya dengan suami menyewa di hotel untuk ulang alik bersihkan lantai yang berdaki, bilik air berlumut kuning hijau.

Mangkuk tandas nak saya cerita tak warnanya?

Pintu kabinet dapur pecah diterajang penghuni. Bong untuk hisap syabu dijumpai. Kotak rokok, kondom, spenda reput…semua berterabur di atas lantai ruang tamu. Yang menyewa ni anak-anak bangsa saya sendiri yang saya anggap sebagai anak.

Tapi kenapa hauk sangat perangai?

Hampir terlupa, bil TNB tertunggak RM1,500. Sapa yang bayar? Makcik kaki satu ni ler. Budak-budak ni dah lebuh lari (deposit tak boleh cover pun).

Kali kedua, saya minta kawan saya seorang peguam untuk datang ketika tenancy agreement ditandatangani. Yang ni upah siap semua, RM500. Mahal ke? Saya rasa ini standard fi peguam.

Untuk sewaan kali ini, saya pesan pada penyewa supaya patuhi peraturan pada tenancy agreement. Deposit ya saya ambil tinggi, tapi ianya akan dipulangkan jika rumah ditinggalkan dalam keadaan yang baik.

3 bulan sebelum mereka tamat tempoh sewaan, saya WhatsApp banyak kali bagitahu supaya bersihkan unit sebelum keluar. Budak-budak ni jawab ya puan, ya puan.

Hari kunci dipulangkan…Allahu….ranap lagi.

Demam-demam saya dan suami mengemas rumah yang tunggang terbalik. Sampah tak dibuang, sinki berkerak, bilik air macam uwerkkk..

Budak-budak ni desak saya pulangkan duit deposit. Merayu cakap mereka datang dari keluarga yang susah dan perlukan duit.

Saya tanya mereka, apa jadi dengan janji yang mereka buat setiap bulan? Jangan guna alasan orang susah untuk jadi penyewa yang tidak bertanggungjawab.

Saya kata, tenancy agreement tu dibuat dengan kehadiran peguam. Malang sekali budak-budak ni yang langgar peraturan yang tertulis dalam perjanjian.

Jadi, saya tak pulangkan duit deposit tu sebab saya perlu baik pulih kerosakan yang nilainya beribu.

Pemilik rumah sekarang ni dah takut nak sewakan premis kepada pelajar (saya antaranya)

Sebagai parents pula, mungkin anda perlu buat home visit ke rumah sewa anak-anak bagi memastikan rumah yang disewa tidak rosak hancur dikerjakan. Ajar anak-anak menghormati harta benda orang lain walaupun sewa dibayar.

Nak kesian kat students yang baru nak mula hidup ni? Masalahnya saya kena dengan students yang baru nak mula hidup ni lah.

Nanti ada orang marah saya pukul rata. Saya hanya cerita pengalaman saya dan saya tak suka ambil risiko banyak kali.

Juga, menyewa rumah kepada students bukan boleh kaya pun. Bayar loan rumah sebulan RM900, sewa RM1600 (fully furnished). Untung kat mana habaq mai?

Satgi ada pulak kata sewa lah rumah kosong. Hat kata tu lah pi sewakan. Rumah saya ada perabot segala sebab memang duduk situ dulu. Bila pindah, tak bawa barang banyak.

Anyway, rumah sekarang ni disewakan kepada ahli keluarga sendiri yang boleh dipercayai. Tak perlu minta deposit, Alhamdulillah dah hampir 3 tahun mereka menghuni…rumah kemas bersih. Tenang je hati.

Goodluck pelajar yang nak cari rumah sewa, salahkan senior anda kerana meninggalkan trauma kepada pemilik rumah

Kepada students yang masih mencari-cari rumah sewa, aunty just boleh cakap goodluck. Salahkan senior hangpa yang meninggalkan trauma kepada pemilik-pemilik rumah ini.

Sekadar info, UiTM kini telah mewujudkan portal rumah sewa Non Residen (NR) UiTM (https://nr.uitm.edu.my) bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.

Baca juga: Bercuti dekat Thailand serba serbi murah dan berbaloi, RM300 pun cukup, ‘di Malaysia banyak scam je’

Baca juga: “Tak reti hormat ke?”- Pemuda terkilan rakan selamba minta sijil kematian adik sebab nak tipu ada hal kecemasan