Malaysia Dateline

Pelajar IPT dibenar pulang berhari raya

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke rumah masing-masing sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan

Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada semalam juga memutuskan untuk mengecualikan pelajar Sarawak dari pulang ke rumah mereka.

“Para pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing- masing ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPT berkata, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Menurutnya, pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

“Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar,” jelasnya.