Malaysia Dateline

Pelajar IPTA, IPTS Sarawak mula bergerak pulang hari ini

Pelajar-pelajar di dalam negeri yang belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) di seluruh Sarawak akan mula berangkat pulang hari ini dan esok.

Menurut Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) telah mengamanahkan pihak pengurusan pelajar berkenaan kepulangan para pelajar setelah mengadakan perbincangan baru-baru ini.

Katanya, JPBN turut dimaklumkan bahawa pelajar dari seluruh Sarawak akan mula berangkat balik hari ini dan esok.

Beliau memberitahu bahawa pelajar-pelajar akan dihantar menaiki bas pada waktu siang ke pelbagai lokasi dan daerah.

“Daripada sana, mereka akan pulang ke rumah atau kampung masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching.

Pada Jumaat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media di Kuala Lumpur berkata, kerajaan membenarkan penuntut IPT awam dan swasta, termasuk politeknik dan kolej komuniti di bawah KPT pulang ke kampung secara berperingkat bermula Isnin.

Beliau menjelaskan, buat masa ini seramai 53,000 atau kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan penuntut akan dibenarkan pulang.

Beliau berkata penghantaran pulang penuntut terbabit hanya membabitkan kawasan Zon Hijau dengan perjalanan dibuat dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar pada waktu siang.