Malaysia Dateline

Pelajar kemalangan kerana cari capaian internet untuk ikuti PdPR

Tidak mahu terlepas untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein di Selama, Perak cedera parah setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Jumaat lepas.

Pelajar perempuan yang akan menduduki peperiksaan SPM, Siti A’isyah Mohd Idris terpaksa berulang-alik ke rumah bapa saudaranya di Taman Permai 2, Selama dengan menaiki motosikal terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis BMW di jalan itu kira-kira 9.45 pagi.

Beliau mengikuti PdPR di rumah bapa saudaranya kerana di kawasan itu mempunyai capaian internet yang sangat baik

Menurut kakaknya, Siti Nurzulfa Mohd Idris adiknya itu mengalami kecederaan parah termasuk patah pada bahagian paha kiri, cedera pada tulang rahang mulut sehinggakan terpaksa menerima jahitan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping dan dalam keadaan stabil.

“Oleh kerana capaian Internet yang lemah di rumah di Kampung Baru Batu 3 menyebabkan adik saya terpaksa berulang-alik setiap hari ke rumah bapa saudara yang terletak hampir tujuh kilometer di Pekan Selama,” lapor Bernama.

Sebelum ini, Siti Nurzulfa membuat hantaran sehingga tular dalam media sosial mengenai kisah Siti Aisyah sehingga mendapat perhatian netizen yang simpati dengan nasib menimpa pelajar harapan aliran Sains di sekolah itu.

Siti Nurzulfa yang merupakan mahasiswi tahun akhir pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata kebanyakan rumah di situ sering menghadapi capaian Internet yang lemah sejak bertahun lamanya.

Katanya, keadaan ini menyukarkan murid sekolah kebangsaan dan menengah di situ untuk mengikut PdPR malah dia juga telah beberapa kali menghantar aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) namun masih tidak mendapat tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Adun Selama Mohd Akmal Kamarudin ketika ditemui berkata sebanyak 10 pencawang akan dinaik taraf menerusi Program Jendela bagi tempoh 2021 hingga 2022 di Selama bagi mengatasi masalah capaian liputan Internet dan telekomunikasi yang lemah itu.