Malaysia Dateline

Pelajar matrikulasi dikompaun RM1,500: Amalan dua darjat makin menjengkelkan

Naib Ketua Pejuang Muda Malaysia, Nik Fathurahman menganggap amalan dua darjat yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin menjengkelkan susulan dakwaan sekumpulan pelajar di sebuah kolej matrikulasi dikompaun sebanyak RM1,500 seorang.

Beliau juga melahirkan rasa kesal ekoran kompaun yang dikeluarkan itu dikenakan tanpa apa-apa budi bicara dan siasatan mendalam sebagaimana yang dilakukan terhadap menteri, artis, orang kenamaan atau ‘kluster kayangan’.

“Pejuang Muda berharap pihak KKM, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dapat memberi faedah kesangsian yang adil kepada pelajar-pelajar tidak kira dari kolej mana pun mereka mengaji.

“Kami berharap pegawai-pegawai penguatkuasa dapat bertimbang rasa khususnya kepada para pelajar.

“Sedangkan mereka yang bertaraf menteri pun boleh terlupa, terkhilaf serta tersilap dalam hal pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular di media sosial sekumpulan pelajar matrikulasi yang didakwa dikompaun sehingga RM1,500 kerana tidak memakai pelitup mulut di dalam kolej.

Mengulas lanjut, Nik Fathurahman berkata, apa yang membuatkan ramai berasa kesal adalah para pelajar terbabit dikatakan tidak ke mana-mana sejak semester dibuka selama lima bulan.

Malah, ujarnya, pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej pada awalnya untuk membuat pemeriksaan kes keracunan makanan, telah mengenakan kompaun tidak memakai pelitup muka kepada pelajar tanpa budi bicara.

Terdapat juga gambar menunjukan pelajar-pelajar matrikulasi itu disaman sehingga membuatkan warganet mempersoalkan tindakan tersebut.

Sementara itu, Pejuang Muda turut membangkitkan aduan ibu bapa berhubung jangkitan Covid-19 di sekolah-sekolah.

Tambah Nik Fathurahman lagi, kerajaan pusat perlu segera mempertimbangkan penutupan sekolah-sekolah terjejas dan tidak memperjudikan kesihatan serta keselamatan anak-anak.