Malaysia Dateline

Pelajar Melayu paling ramai di SJK Chung Hua Batu Kitang

Jumlah pelajar di kalangan kaum Melayu merupakan yang paling ramai menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua di Batu Kitang, Kuching.

Guru Besar SJK Chung Hua Batu Kitang, Png Too Jee berkata, pelajar Melayu adalah yang teramai menuntut di sini dengan seramai 42 murid semuanya.

Ini dikuti pelajar Cina seramai 23 orang, Bidayuh 22 manakala kaum Iban dan India masing-masing seorang.

“Saya rasakan sekolah ini agak unik kerana ramai pelajar bumiputera yang menutut di sini dan memilih aliran bahasa Cina sekali gus membuktikan penerimaan kaum lain dalam mendidik anak-anak mereka.

Png menambah selain guru-guru berasal dari Sarawak, SJK Chung Hua Batu Kitang turut mempunyai guru Melayu yang mengajar mata pelajaran Agama Islam yang datang dari Semenanjung dan kesemua guru di sini seramai 13 orang.

“Walaupun sekolah ini merupakan aliran bahasa Cina tetapi untuk pelajar-pelajar Melayu tetap diberi penekanan belajar dalam mata pelajaran agama Islam,” jelas beliau.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan dana daripada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen yang diwakili Pegawai Khas Abdul Aziz Isa di SJK Chung Hua Batu Kitang, Kuching di sini hari ini.

Ditanya penguasaan pelajar-pelajar bumiputera dalam subjek Bahasa Mandarin, beliau memberitahu penguasaan mereka masih ditahap memuaskan.

Ini kerana katanya, pelajar tersebut tidak menggunakan Bahasa Mandarin sebaik tamat pembelajaran dan ketika berada di rumah masing-masing.

“Untuk itu saya telah memohon kepada pihak kerajaan khususnya kepada Ahli Parlimen kawasan agar dapat memberikan sumbangan dana setiap tahun untuk kami mengadakan program tuisyen bukan sahaja bagi subjek Bahasa Mandarin, malah mata pelajaran lain.

“Dengan demikian, kita akan dapat membantu pelajar-pelajar yang ibu bapa mereka kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka ke tuisyen di luar sana, ” tegas Png.

Pada majlis itu, SJK Chung Hua Batu Kitang telah menerima sumbangan dana sebanyak RM10,000 daripada Ahli Parlimen Stampin yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.