Pelajar Msia ditahan di Mesir: Kedutaan digesa ambil peranan

Syed Abdul Kadri Al Joofre

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kerajaan Malaysia digesa untuk mengambil tindakan segera dan konkrit melibatkan keselamatan rakyat negara ini di Mesir dengan menyegerakan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Mesir serta Menteri Penasihat Pendidikan, di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang ketika ini kekosongannya masih belum diisi.

Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam) Syed Abdul Kadir Aljoofre  menyeru Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan kerajaan Malaysia memberi perhatian serius untuk membantu menyelesaikan masalah pelajar negara ini di Mesir.

Ilmam katanya, dimaklumkan pelajar yang terlibat dengan penangkapan ialah mereka yang menuntut di Pusat Kursus Bahasa Arab di Kaherah.

“Seperti sedia maklum, mana-mana pelajar yang baru tiba ke Mesir memperoleh visa selama 3 bulan daripada Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.

“Walaupun demikian, visa tersebut akan tamat tempoh dan peluang untuk memperbaharuinya amat sukar kerana para pelajar masih belum mendapatkan pengesahan pengajian (tasdiq) daripada pihak institusi pengajian.

“Ilmam turut dimaklumkan oleh pelajar Malaysia di Mesir bahawa pihak berkuasa Mesir juga tidak lagi mengakui surat sokongan yang dikeluarkan oleh pihak KBMK kepada pelajar yang belum memperolehi visa.

“Masalah ini dirumitkan lagi apabila pegawai-pegawai tempatan yang dilantik untuk menguruskan pembaharuan visa telah menahan pasport para pelajar sehingga melebihi sebulan untuk diproses hingga mengakibatkan sebahagian pelajar Malaysia kini bukan hanya tidak memiliki visa bahkan pasport mereka juga tidak berada dalam simpanan masing-masing,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.