Malaysia Dateline

Pelajar Sarawak mula dihantar balik ke kampung

Seramai 127 pelajar dari beberapa kampus di negeri ini telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan lapan buah bas yang ditempah khas bermula dari tempat pelepasan di kampus UNIMAS, Kota Samarahan, semalam.

Mereka terdiri dari 79 dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej iSystem (17), Kolej SEGI (2), Kolej Swinburne (3), UCSI (5), Asia Metro (17), Kolej MSU (3) dan Sarawak Skill (1)

Pelepasan pelajar-pelajar berkenaan telah disaksikan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi bersama-sama dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Dr Haji Kamarudin Kana dan pegawai-pegawai UNIMAS lain.

UNIMAS sebelum itu, telah mengatur persiapan rapi untuk memastikan pematuhan prosedur pergerakan menghantar pulang pelajar dan memastikan kelancaran serta keselamatan mereka selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Proses pengerakan pulang pelajar-pelajar turut mendapat bantuan dan kerjasama dari Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membantu mensanitasikan bas sebelum pelajar memasuki bas yang disediakan.

Manakala anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membantu bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti amalan penjarakan sosial dan pemakaian topeng hidung dan mulut dipatuhi sebaik sampai ke destinasi masing-masing.

Sebelum dibenarkan menyertai proses pergerakan pulang, pelajar-pelajar telah melalui saringan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu manakala beg-beg yang dibawa juga disanitasi sebelum dibawa masuk ke dalam bas.

Selain itu, sepanjang perjalanan, pelajar-pelajar akan ditemani oleh seorang Pegawai Perhubungan UNIMAS dan dua pemandu bas yang ditugaskan mengikuti perjalanan terbabit sehingga ke destinasi yang dituju.

Pelajar-pelajar berkenaan turut tidak dibenarkan melakukan sebarang perubahan tempat duduk di dalam bas atau mengubah laluan destinasi asal mereka.

UNIMAS bertindak sebagai koordinator menyelaras pengangkutan bagi program menghantar pulang pelajar-pelajar IPT di Sarawak ke bahagian-bahagian dalam Sarawak/ Sabah dan Semenanjung Malaysia, selepas mereka menetap di dalam kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak 18 Mac lalu.

Turut dihantar pulang semalam ialah pelajar-pelajar dari Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Samarahan, UiTM Mukah, Politeknik Mukah dan Politeknik Kuching seramai 104 orang dengan tempat pelepasan mereka adalah bermula dari kampus masing-masing.

Antara destinasi pelajar-pelajar yang dihantar pulang adalah ke lokasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Bau, Lundu, Pusa, Padawan, Simunjan dan Serian.

Manakala pelajar-pelajar IPT dari Semenanjung yang akan pulang ke Sarawak akan diselaras oleh Sarawak Volunteers.