Pelajar sekolah rendah turut ceburi sukan perahu layar di Batu Pahat

Pelajar sekolah rendah turut ceburi sukan perahu layar di Batu Pahat

“Sesuatu yang memberangsangkan bila ada pembabitan murid dari sekolah rendah yang menceburi sukan perahu layar.”

Khairuddin A Rahim

Itu adalah kenyataan Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim ketika menghadiri program Sukan Perahu Layar di Pantai Sungai Lurus, Batu Pahat Johor.

Beliau berkata, sukan itu perlu diiktiraf di negeri ini memandangkan terdapat minat dalam kalangan masyarakat khususnya mereka yang tinggal di kawasan pinggir pantai.

Beliau turut menyatakan, sukan berkenaan telah berlangsung sekian lama dan pada tahun 2015 sukan ini mula mendapat sambutan yang menggalakkan di hati masyarakat khususnya di Senggarang.

“Sini (Senggarang) merupakan tapak lokasi untuk pencinta sukan Perahu Layar di daerah Batu Pahat. Pantai Sungai Lurus merupakan pantai yang sangat strategik bagi sukan ini.

“Jika diikutkan, pantai ini merupakan tempat yang sesuai untuk mengadakan aktiviti sukan ini. Air tenang serta kawasan yang berangin membuatkan pantai ini menjadi tarikan penggemar sukan ini.

“Sambutan di sini amat menggalakkan sehingga ia diceburi oleh kanak-kanak dan sukan ini mampu untuk menarik minat pelbagai golongan masyarakat,” jelasnya ketika berucap di program berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pembangunan serta kelengkapan sukan tersebut perlu disambut oleh Kerajaan Negeri Johor memandangkan ia amat baik untuk diketengahkan.

Loading...

Katanya lagi, hal ini akan dibawa kepada kerajaan untuk disemak semula sebagai daya tarikan pelancongan dan sukan diperingkat nasional mahu pun antarabangsa.

“Kita akan berhadapan dengan Sukma di Johor tidak lama lagi, maka dengan itu amatlah sekiranya minat ini disambut oleh kerajaan sebagai wadah anak muda.

“Saya akan mengemukakan kertas cadangan untuk mengadakan Kompleks Perahu Layar Senggarang Batu Pahat Johor dengan menyediakan pelbagai infrastruktur kemudahan yang diinginkan.

“Sebagai permulaan, saya akan bersama dengan Persatuan Perahu Layar Negeri Johor untuk menganjurkan program Sukan Perahu Layar di Sungai Lurus bertaraf nasional.

“Keyakinan saya adalah untuk melahirkan anak muda berbakat dalam sukan ini khususnya bagi mereka yang tinggal di Senggarang,” jelasnya lagi.

Beliau turut memaklumkan akan berkerjasama dengan persatuan yang terbabit bagi melahirkan anak muda berbakat yang bertaraf antarabangsa.