Pelajar tahfiz ditemui lemas di tali air

Pelajar tahfiz ditemui lemas di tali air

KUALA NERUS, 14 Nov – Seorang pelajar maahad tahfiz berusia 13 tahun lemas ketika mandi-manda bersama enam rakannya di sebatang tali air di Kampung Padang Air, di sini, hari ini.

Mayat Ahmad Muhaimin Mohd Abdul Razip ditemui di celah dasar lumpur tali air oleh anggota penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 9.20 malam, kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Difahamkan pelajar Maahad Tahfiz Darul Iman itu dan enam rakannya datang untuk mandi di tali air tersebut pada petang tadi tetapi mangsa tiba-tiba dibawa arus deras manakala enam rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Cawangan Bahagian Pengurusan Operasi dan Balai, JBPM Negeri, Mohd Mazimi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 petang sebelum 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Operasi pencarian bermula jam 6.17 petang itu berhadapan dengan kesukaran kerana hujan lebat dan arus deras namun pihak kami guna teknik selaman di permukaan tali air,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa kepada bapanya, Mohd Abd Razip ismail, 54, yang turut menunggu di tempat kejadian sejak petang tadi sebelum diserah kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, untuk bedah siasat.

Difahamkan mangsa sering ke tali air tersebut untuk mandi-manda bersama kawan-kawannya.

Sementara itu, Mohd Abd Razip berkata beliau agak terkilan kerana tidak sempat menjadi makmum solat Maghrib dan Isyak anaknya itu ketika abang mangsa menguji adiknya itu ketika pulang bercuti di rumah mereka di Kampung Padang Nenas.

“Abang dia nak uji dia jadi imam, tapi saya tak sempat menyertai solat jemaah sebab saya solat di masjid..tapi saya bersyukur sebab sebelum pemergiannya dia sudah hafaz 15 juzuk al-Quran,” kata pesara sebuah bank itu kepada Bernama.

Katanya, rakan-rakan mangsa menemui beliau dan meminta maaf kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa.

“Tapi apa boleh buat, benda dah jadi. Ini pengakhirannya (mangsa), saya reda,” katanya sebak sambil memegang baju-T berwarna oren milik mangsa.

— BERNAMA